Perjalanan usia yang jauh menjadikan kita semakin memahami erti kehidupan sebenar lalu menghargainya sebagai suatu kenangan dan pengalaman yang tidak boleh dijualbeli.
Thursday, December 11, 2008
Penjana Perubahan
Gambar ini merupakan gambar yang tulen. Maksudnya , aku memiliki gambar original dan bukannya diambil dari orang lain. Ini adalah gambar yang menunjukkan Tun Abdul Razak bin Hussein sedang menyampaikan ucapan di depan dewan orang ramai di kampung aku sekitar awal tahun 70an dulu. Sekarang dewan itu telah tiada dan digantikan dengan perpustakaan desa dan pusat ict.Ketika itu, aku masih kecil lagi, mungkin baru masuk darjah satu atau darjah dua.
Kedatangannya ke kampung aku membawa bersama perubahan yang drastik. Beliau datang membawa pembangunan yang dijanjikan untuk kawasan sekitar. Aku masih ingat,semasa kedatangannya itu beliau berjalan kaki sejauh dua kilometer lebih melalui jalan kecil bertanah merah yang dibina orang kampung, meredah kebun getah dan sawah bendang untuk sampai ke dewan orang ramai tersebut.Beliau berjalan beramai-ramai untuk melihat keadaan dan masalah orang kampung.
Di dewan orang ramai ini , beliau mengumumkan pembangunan yang dibawanya iaitu sebatang jalan tar dan juga pembukaan FELDA yang pertama di Perlis. Hasilnya, jalan yang sempurna dibina dan sebuah perkampungan FELDA diteroka di kawasan yang berhampiran. Kawasan itu ditanam dengan tebu dan menjadi FELDA pertama yang menghasilkan tebu di negara kita.Selepas pembukaan FELDA tebu tersebut, ramai orang yang mencari rezeki di situ sehingga ke hari ini.
Aku hairan melihat Tun Abdul Razak pada ketika itu. Rasanya bukan aku seorang yang hairan dengan sikap beliau yang sanggup berjalan kaki sejauh dua kilometer sedangkan jalan kecil itu boleh dilalui kenderaan seperti landrover. Kenderaan ada tetapi beliau berjalan kaki untuk melihat dan merasai susah payah orang kampung.
Kehairanan itu masih ada sehingga ke hari ini kerana pada zaman yang serba senang dengan kemudahan dan perhubungan, masih ada pemimpin yang sukar untuk datang menjenguk ke kampung-kampung. Jauh bezanya dengan sikap Tun Razak...Sanggup turun padang, lihat dan rasa sendiri kehidupan rakyat. Patutlah dia digelar Bapa Pembangunan..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment