Pages - Menu

Thursday, January 23, 2014

ISTERIKAH NUSYUZ ATAU SUAMI YANG DERHAKA

Oleh: HAJAH SITI SALEHA HAJI IDRIS
          PEGUAM SYARIE


Dalam bahasa kita nusyuz ni ingkar atau derhaka. Persoalannya bila sebut sahaja nusyuz atau derhaka ni selalunya "macam" terfokus kepada isteri. Isteri derhaka, tak taat suami tak hormat suami tak nak layan suami dan macam-macam lagi kesalahan diletakkan ke atas wanita yang bergelar isteri. Kesian orang perempuan ni dah la buat kerja macam-macam, siang, malam, pagi, petang nak cuti pun susah sebab kerja tak pernah selesai. Yang lagi hebat, kalau anak 5,6,7,8,9 dan keatas lepas tu tak ada pembantu... Ya Allah ... faham-faham sahajalah. Tapi orang perempuan ni dicipta oleh Allah walaupun fizikalnya nampak lemah tapi kekuatan dalamannya memang hebat lebih-lebih lagi jika untuk suami dan anak-anak yang sangat-sangat dikasihi. Sebab itulah berkorban terkorban pengorbanan sangat sinonim di dalam diari kehidupan seorang wanita.

Hukum nusyuz atau derhaka ni memang jelas haram, bila dah haram bila dilakukan maka berdosa. Sebagai seorang yang beriman bila sebut dosa tentu kita takut sebab bila dah berdosa kalau tak bertaubat hadiahnya adalah neraka Nauzubillahi min zalik.

Oleh itu berhati-hati dalam tindak tanduk kita supaya tidak dikategorikan sebagai isteri yang derhaka. Kalau ada minta maaf cepat2 sebab kematian itu datang tak tentu masa bila-bila sahaja.

Bila sebut tentang nusyuz atau derhaka ni, adakah isteri sahaja yang nusyuz, bagaimana pula suami?

Isteri dikatakan nusyuz jika tidak mentaati suami sebagaimana yang diwajibkan oleh Allah Taala. Isteri wajib mentaati suami tapi bersyarat iaitu sebagaimana yang diwajibkan oleh hukum syarak. Kalau suami tak bagi tutup aurat tak bagi belajar ilmu fardhu ain maka bukanlah nusyuz jika tidak dipatuhi. Ketaatan yang dituntut oleh Islam ada panduan sebagai rujukan dan bukan sewenang-wenangnya. 

Suami juga dikatakan nusyuz, jika berlaku zalim seperti tidak menunaikan hak nafkah atau bercakap atau bertindak kasar terhadap isteri atau tidak menunakan hak isteri dalam pembahagian giliran bermalam. (rujuk kitab terjemahan Al-fiqh Al-Manhaji jilid 4 ms 849)

Tak beri nafkah, tak nak bercakap dengan isteri, pukul isteri, tak nak balik rumah isteri tua bila dah dapat isteri muda dan sebagainya...itu perbuatan derhaka dari pihak suami terhadap isteri. 

Isteri juga berhak menasihati suami sebagaimana suami berhak menasihati isteri. Jika peringatan dan nasihat yang diberikan oleh isteri tidak berkesan, masalah tersebut wajar dibawa ke Mahkamah bagi isteri untuk mendapatkan haknya. Ini kerana hakim di Mahkamah dilantik untuk mengembalikan hak kepada empunya hak khususnya bagi isteri- isteri yang tidak mampu mendapatkan haknya secara perundingan.

Suami berduit tapi tak nak bagi kat isteri katanya isteri bekerja jadi tanggunglah diri sendiri, adakah itu juga kategori derhaka ya, tak berani nak declare. Tapi yang jelas itu suami yang kedekut Sabda Rasulullah "Sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik kepada ahli keluarganya dan saya adalah orang yang paling baik di kalangan kamu kepada ahli keluarga saya"

Tak salah jika Isteri bekerja dengan izin suami, ditambah pula perkerjaan isteri memang tak bercanggah dari hukum syarak tapi tanggungjawab suami untuk memberi nafkah kepada isteri tetap tidak gugur... 

Satu penyakit yang menular dalam masyarakat kita ialah masalah komunikasi antara suami dan isteri, kadang-kadang seminggu tak bercakap alasannya tak ada apa yang nak dibualkan, tapi yang peliknya ditempat kerja masing-masing diiktiraf kaki sembang, pandai bercerita, hebat dihadapan rakan sekerja tapi bila balik rumah out..bercakap tak nak, senyum pun susah, telefon pun tak nak masing-masing bawa diri masing-masing sorang gi timur dan sorang di barat, anak-anak pun jadi confius arah tuju keluarga yang hendak dibina oleh ibu bapa mereka. Masing-masing lebih prihatin dan ambil berat hal-hal orang luar dari keluarga sendiri sedangkan hadis diatas jelas menyatakan siapakah "sebaik-baik kamu".... 


Kesimpulannya nusyuz atau derhaka, bukan sahaja dari pihak isteri bahkan suami juga, oleh itu muhasabah diri dari masa ke semasa. Semua orang nak hidup bahagia bersama orang yang dikasihi. Pada pendapat saya corak atau warna kehidupan dalam keluarga yang kita bina adalah pilihan kita sendiri... bahagia atau derita tanya diri sendiri.. Allah beri aqal untuk berfikir dan gunakan sebaik mungkin jangan disebabkan keegoan diri sendiri menghancurkan kebahagian diri sendiri dan insan-insan yang berada disekeliling kita...

Semoga Allah mengampuni dan merahmati kita semua..


Dipetik drp http://hakwanitadalamislam.blogspot.com/

Hak-Hak Wanita Dalam Islam

Oleh :
Mohamad Syafiqe bin Abdul Rahim
Jabatan Syariah & Undang-Undang
Akademi Pengajian Islam,Universiti Malaya
Antara peranan utama pemerintah ialah menekankan betapa pentingnya pemeliharaan terhadap hak golongan minoriti dan wanita. Pada pandangan penulis, golongan wanita di Malaysia telah mendapat segala hak utama yang mereka kehendaki samada dari segi peluang pekerjaan,dalam bidang ekonomi,pemilikan harta,hak bersuara dan sebagainya.Pendek kata,golongan wanita di Malaysia merupakan golongan yang boleh dianggap “istimewa” berbanding golongan wanita di negara-negara Islam lain. Golongan wanita di Malaysia tidak mendapat diskriminasi dan mendapat hak yang sama dengan golongan masyarakat yang lain.Malah kerajaan Malaysia telah menetapkan bahawa menjelang 2020, 30 peratus daripada pembuat dasar kerajaan adalah melibatkan golongan wanita.Kerajaan juga telah menubuhkan kementerian khusus bagi menjaga hak dan pembangunan wanita di Malaysia.
Prinsip menghormati dan mengangkat hak serta martabat wanita telah dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan.Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa : ” Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang“.Jelas, Perlembagaan Malaysia mengiktiraf semua golongan di Malaysia dan mendapat perlindungan yang sama rata tanpa membezakan antara agama,bangsa dan jantina seseorang.Di sudut Islam, martabat kaum wanita tidak pernah dipandang rendah.Tetapi perlu diingat bahawa Islam tidak pula menyamakan antara lelaki dan perempuan.Apa yang penting Islam menghormati kaum wanita dan mengangkatnya kepada darjat yang tinggi mengikut lunas-lunas Islam.

Di sini,penulis akan menyatakan antara petikan Al-Quran dan Hadith yang berkaitan dengan wanita.Dalam Surah Ali-Imran ayat 195, Allah berfirman yang bermaksud: …” Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu,sama ada lelaki atau perempuan,(kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain”.Begitu juga dalam Hadith,Rasullulah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Wanita itu adalah pemimpin dalam rumahtangga suaminya, dan akan ditanya tentang pimpinannya”.Berdasarkan ayat Al-Quran dan Hadith tersebut,jelas menunjukkan bahawa Islam memartabatkan kaum wanita.Islam tidak membezakan mereka dengan kaum lelaki khususnya dalam perkara yang melibatkan ibadat.Mereka masing-masing mendapat pahala disisi Allah mengikut amalan masing-masing.
Penulisan ini akan mengungkaikan hak wanita yang melibatkan hak mereka di dalam Undang-undang Keluarga Islam yang terlaksana di Malaysia [Rujukan kepada Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984].Di Malaysia,hak seseorang wanita itu telah ditentukan dengan jelas di dalam Undang -undang Keluarga Islam setiap negeri.Tujuan perundangan ini diwujudkan adalah untuk memberi keadilan kepada kaum wanita supaya mereka mendapat hak sepatutnya dan tidak ditindas.Disamping itu,ia juga bertujuan untuk membolehkan pihak wanita menuntut hak yang sepatutnya diberi bersandarkan kepada tuntutan Hukum Syarak.

Hak Untuk Berkahwin
Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [selepas ini disebut AUKI 1984], hak seseorang wanita untuk berkahwin telah diperuntukkan dengan jelas di bawah seksyen 8 iaitu: “Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu“. Tujuan peruntukkan ini dibuat bukanlah sebagai satu bentuk sekatan bagi pasangan pengantin berkahwin pada umur yang muda.Namun ia bertujuan untuk memastikan setiap pasangan mempunyai tahap kematangan yang mencukupi dan mempunyai persediaan untuk memikul tanggungjawab yang besar dalam institusi kekeluargaan.Jelas,dengan peruntukkan ini,mungkin sedikit sebanyak dapat mengurangkan kes-kes perceraian dan masalah kes suami yang tidak mampu memberi nafkah dan tidak bertanggungjawab sebagai seorang suami.
Hak Terhadap Mas Kahwin
Wanita juga diberi hak sepenuhnya terhadap mas kahwin yang dibayar terhadap masa akad nikah dijalankan,bahkan hak isteri ke atas mas kahwin tersebut tidak boleh digugurkan atas alasan perceraian ataupun pembubaran perkahwinan.Jika suami masih berhutang mas kahwin terhadap bekas isterinya,dia boleh mengemukakan aduan ke Mahkamah untuk mendapatkan jumlah mas kahwin yang masih terhutang.
Hak Dalam Poligami
Dalam AUKI 1984,telah menetapkan hak bagi setiap wanita untuk mendapat perlindungan daripada suami yang berpoligami.Dalam konteks ini,Akta ini telah menetapkan beberapa syarat sebelum lelaki itu dibenarkan oleh mahkamah berbuat demikian.Seksyen 23 menjelaskan bahawa seseorang lelaki itu semasa masih didalam perkahwinan membuat kontrak perkahwinan yang lain dengan perempuan lain kecuali dengan kebenaran daripada mahkamah.
Seksyen 123 menyatakan sekiranya lelaki berkenaan tidak mendapat kebenaran bertulis sepertimana yang diperuntukkan dalam seksyen 23 dan kemudiannya berkahwin lagi,maka dia telah melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum denda sehingga RM1000 atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya sekali.Selain itu,Mahkamah juga perlu berpuas hati tentang lima perkara sebelum kebenaran diberikan iaitu :
a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah perlu dan patut memandang kepada,hal-hal keadaan yang berikut,iaitu,kemandulan,keuzuran jasmani,tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan,sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;
b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung,sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak,semua isteri dan orang tanggungannya,termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;
c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak;
d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan ‘darar syarie’ kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;dan
Peruntukan tentang poligami dalam Undang-Undang Keluarga Islam jelas memberi satu bentuk keadilan dan segala perlindungan kepada kaum wanita di mana ia memberi segala hak dan kepentingan isteri yang sedia ada terjamin dan tidak tertindas.Contohnya,isteri yang sedia ada akan diserahkan satu salinan permohonan dan akuan berkanun bersama dengan saman (untuk hadir ke Mahkamah) kepada mereka sebagai makluman awal sebelum permohonan poligami dibuat.Semua peruntukkan ini dibuat bukanlah bertujuan untuk menghapuskan terus poligami yang dibenarkan oleh Islam tetapi ianya diadakan agar tujuan poligami sebenar tidak disalahgunakan dan untuk mengelakkan diskriminasi terhadap wanita.

Hak-Hak Lain
a) Hak untuk mendapatkan perceraian secara khulu’ atau tebus talaq bagi membatalkan ikatan perkahwinan dengan sebab-sebab yang munasabah dan telah diputuskan oleh Mahkamah sepertimana diperuntukkan dalam subseksyen 49(1):“Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaannya sendiri,tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talaq,Mahkamah hendaklah selepas jumlah bayaran tebus talaq dipersetujui oleh pihak-pihak itu,mengarahkan suami itu melafazkan perceraian dengan cara penebusan dan perceraian itu adalah bain sughra atau tak boleh diruju’kan”
b) Hak untuk mendapatkan perceraian di bawah takliq atau janji sepertimana diperuntukkan di bawah seksyen 50(1):“Seseorang perempuan yang bersuami boleh,jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan takliq yang dibuat selepas berkahwin,memohon kepada Mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku”
c) Hak untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh jika terdapat satu atau lebih daripada alasan-alasan munasabah sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 52.
d) Hak terhadap harta sepencarian sepertimana yang diperuntukkan dalam seksyen 58(1):“Mahkamah adalah mempunyai kuasa,apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian,memerintah suapaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu”
e) Hak terhadap nafkah eddah di mana seorang isteri yang diceraikan berhak mendapat nafkah eddah yang diberi oleh bekas suaminya sepanjang tempoh eddah.Dalam seksyen 59(1) menyatakan: “Tertakluk kepada hukum syarak,Mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya”
f) Hak untuk mendapatkan tempat tinggal sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen 71(1): “Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dia berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai untuk isteri”
g) Hak keutamaan dalam hadhanah bagi menjamin kebajikan kanak-kanak tersebut seperti dalam seksyen 81(1): ” Tertakluk kepada seksyen 82,ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan”

Secara ringkasnya,ini adalah diantara peruntukkan yang secara jelas memberi satu kelebihan dan menjaga kedudukan mereka sebagai seorang isteri dalam perkahwinan.Dengan adanya peruntukkan Undang-Undang Keluarga Islam,diharapkan bahawa kaum wanita dapat berfikir bijak dan dapat menentukan hak-hak mereka supaya kedudukan mereka terbela dan terjamin.Sesungguhnya Islam telah mengangkat martabat kaum wanita dengan segala keistimewaan yang telah diciptakan oleh Allah.Perlu diingat bahawa segala kelebihan ini perlulah digunakan secara bijaksana dan meskipun Islam telah memberi segala hak kepada wanita,mereka perlulah tidak melampaui batas serta tidak “meminta-minta” atau cuba melaksanakan peraturan yang terlalu menonjol hingga melampaui batasan mereka sebagai seorang wanita.Walau apapun hak yang cuba ditegakkan oleh mereka atas alasan hak asasi,ianya tidak boleh sama sekali melanggar Hukum Syarak yang telah ditetapkan oleh Allah.