Tadi, sewaktu rehat ...Aku sempat borak-borak dengan kawanku. Entah macam mana , kami terbicara tentang pakai tudung. Ini tentunya kisah tentang orang perempuan ler...sebab tu pakai tudung. Bukannya kisah orang lelaki.
Kata kawanku, perempuan yang pakai tudung itu bukan semestinya perempuan yang baik. Semuanya terletak kat sini, katanya sambil tunjuk ke arah hati. Betul, tetapi pakai tudung adalah tuntutan agama, jawabku. Tetapi perempuan yang tak pakai tudung pula bukan semestinya juga orang yang baik .
Aku cuba fikir-fikirkan kata-kata itu. Ada kebenarannya kata-kata itu. Tetapi setelah difikir-fikirkan tentang perkara itu, aku cuba membuat analogi sendiri. Pakai tudung ni adalah perkara yang dituntut agama. Menutup aurat bagi perempuan adalah satu kewajiban dalam Islam.
Jadi, analoginya begini. Bandingannya adalah seperti penunggang motosikal.Seseorang penunggang motosikal diwajibkan memakai topi keledar. Tak pakai topi keledar sewaktu menunggang motosikal adalah satu kesalahan dalam undang-undang jalan raya.
Tetapi itu bukannya bermakna sekiranya seseorang yang memakai topi keledar telah menjadi pengguna jalan raya yang baik dan tidak akan melakukan kesalahan yang lain di sisi undang-undang jalan raya. Penunggang juga perlu memiliki lesen memandu yang sah, memiliki cukai jalan yang sah serta tidak melanggar semua peraturan jalan raya yang telah ditetapkan. Setelah semua syarat yang ditetapkan dipatuhi, barulah seseorang penunggang motosikal itu boleh dikategorikan sebagai penunggang motosikal yang patuh kepada undang-undang.
Begitu jugalah dengan pemakaian tudung kepala oleh seseorang perempuan. Jika hanya sekadar memakai tudung kepala sahaja, maka kita tidak sewajarnya membuat rumusan bahawa perempuan itu adalah perempuan yang baik di sisi kaca mata Islam. Dia perlu memenuhi segala tuntutan yang telah ditetapkan oleh agamanya dan sekiranya memenuhi tuntutan itu , maka dia bolehlah dikategorikan sebagai baik menurut kaca mata Islam.
Begitu juga di sebaliknya. Hati yang baik tetapi menolak tuntutan menutup aurat juga tentulah tidak memenuhi kriteria untuk dikatakan baik menurut kaca mata Islam. Oleh itu, kesimpulannya ialah perempuan yang baik menurut kaca mata Islam sudah tentunya memerlukan seseorang itu memenuhi segala tuntutan agamanya dan tidak menolak walau satu pun daripada kehendak agamanya itu.Jika tidak, nilai kebaikan tersebut akan menjadi kurang dan semakin kurang sehingga menimbulkan nilai tidak baik pula.
No comments:
Post a Comment