Kelmarin, pagi-pagi lagi aku diberitahu oleh abangku tentang kematian seorang anak kepada saudara jauh bapaku. Dia mengajak aku untuk pergi mengunjungi keluarga si mati itu. Lebih kurang jam 10 pagi,kami bertolak ke Padang Besar untuk tujuan itu.
Sampai di sana, suasana kelihatan sedih . Kami diberitahu bahawa si mati telah selamat dikebumikan jam 4.00 pagi tadi. Mayat terpaksa dikebumikan segera disebabkan keadaan mayat yang tidak mengizinkan. Menurut ceritanya, si mati adalah murid tingkatan 4 di Sek. Men. Padang Besar (U). Dia terlibat dalam kemalangan sesama rakan rempitnya .
Rakannya pula cedera parah tapi tidak mati. Masih dirawat di Hospital Tengku Fauziah. Patah kaki dan tangan. Si mati mengalami kecederaan parah dan pengsan selepas kemalangan. Dia dikatakan meninggal dunia di hospital tersebut. Sebahagian anggota kakinya dikatakan tercabut dan terpaksa dicari di kawasan kemalangan itu. Anggota kakinya dibawa secara berasingan setelah ditemui kemudian.
Ikut cerita,kemalangan itu berlaku pada waktu maghrib. Kumpulan remaja tersebut sudah hendak pulang ke rumah masing-masing dari tempat lepak. Sewaktu memecut motorsikal masing-masing, entah macam mana boleh terlanggar kawan sendiri. Akibatnya, seorang meninggal dunia manakala seorang lagi terpaksa dirawat di hospital.
Setiap yang hidup pasti mati tetapi pengajaran dari peristiwa ini sepatutnya dijadikan iktibar. Sikap ibu bapa yang tidak bertanggungjawab menjadikan anak-anak mat rempit yang tidak pernah memikirkan orang sekeliling. Ibu bapa yang membelikan motorsikal untuk anak-anak. Mereka juga yang memberi wang ringgit untuk anak-anak mengisi motorsikal dengan minyak untuk merempit. Mudah kata, ibu bapa yang membiarkan anak-anak dan merosakkan masa mereka.
Jika saudara mara dan jiran tetangga menegur salah dan silap anak-anak, maka ibu bapa akan bertindak sebagai peguam bela. Silap haribulan, orang yang menegur akan jadi mangsa. Anak mereka tidak pernah bersalah tetapi sedara-mara dan jiran tetangga yang berdosa. Dosalah.. sebab tegur kelakuan anak-anak mereka.
Sekarang, air mata darah yang menitis sekalipun tidak berguna lagi. Wang ringgit tidak akan dapat menghidupkan kembali anak yang telah pergi. Begitulah balasan Illahi..jika nasihat yang diberi dipandang sepi. Saudara-mara tidak boleh membantu lagi. Nasi sudah menjadi bubur dan anaknya sudah mati. Matinya pada usia muda....mati pula sebagai seorang mat rempit di waktu maghrib. Kasihan....
No comments:
Post a Comment