Perjalanan usia yang jauh menjadikan kita semakin memahami erti kehidupan sebenar lalu menghargainya sebagai suatu kenangan dan pengalaman yang tidak boleh dijualbeli.
Thursday, February 26, 2009
Tutup aurat
Kata kawanku, perempuan yang pakai tudung itu bukan semestinya perempuan yang baik. Semuanya terletak kat sini, katanya sambil tunjuk ke arah hati. Betul, tetapi pakai tudung adalah tuntutan agama, jawabku. Tetapi perempuan yang tak pakai tudung pula bukan semestinya juga orang yang baik .
Aku cuba fikir-fikirkan kata-kata itu. Ada kebenarannya kata-kata itu. Tetapi setelah difikir-fikirkan tentang perkara itu, aku cuba membuat analogi sendiri. Pakai tudung ni adalah perkara yang dituntut agama. Menutup aurat bagi perempuan adalah satu kewajiban dalam Islam.
Jadi, analoginya begini. Bandingannya adalah seperti penunggang motosikal.Seseorang penunggang motosikal diwajibkan memakai topi keledar. Tak pakai topi keledar sewaktu menunggang motosikal adalah satu kesalahan dalam undang-undang jalan raya.
Tetapi itu bukannya bermakna sekiranya seseorang yang memakai topi keledar telah menjadi pengguna jalan raya yang baik dan tidak akan melakukan kesalahan yang lain di sisi undang-undang jalan raya. Penunggang juga perlu memiliki lesen memandu yang sah, memiliki cukai jalan yang sah serta tidak melanggar semua peraturan jalan raya yang telah ditetapkan. Setelah semua syarat yang ditetapkan dipatuhi, barulah seseorang penunggang motosikal itu boleh dikategorikan sebagai penunggang motosikal yang patuh kepada undang-undang.
Begitu jugalah dengan pemakaian tudung kepala oleh seseorang perempuan. Jika hanya sekadar memakai tudung kepala sahaja, maka kita tidak sewajarnya membuat rumusan bahawa perempuan itu adalah perempuan yang baik di sisi kaca mata Islam. Dia perlu memenuhi segala tuntutan yang telah ditetapkan oleh agamanya dan sekiranya memenuhi tuntutan itu , maka dia bolehlah dikategorikan sebagai baik menurut kaca mata Islam.
Begitu juga di sebaliknya. Hati yang baik tetapi menolak tuntutan menutup aurat juga tentulah tidak memenuhi kriteria untuk dikatakan baik menurut kaca mata Islam. Oleh itu, kesimpulannya ialah perempuan yang baik menurut kaca mata Islam sudah tentunya memerlukan seseorang itu memenuhi segala tuntutan agamanya dan tidak menolak walau satu pun daripada kehendak agamanya itu.Jika tidak, nilai kebaikan tersebut akan menjadi kurang dan semakin kurang sehingga menimbulkan nilai tidak baik pula.
Saturday, February 21, 2009
Lakaran idea
Teruskan berfikir untuk memeningkan kepala...
Friday, February 20, 2009
Sibuk, Kalut & Lupa
Semua kerja ada tarikh akhirnya...date line...semua nak kena buat tapi aku suntuk masa. Suntuk masa menyebabkan aku kurang rehat. Tanpa rehat yang cukup, tubuhku boleh jatuh sakit dan minda ku jadi lemah . Kadang kala minda aku tidak mampu untuk berfikir dengan betul.
Kacau...sungguh kacau. Ya Allah , tolong aku. Kesannya, aku mulai terasa. Malam semalam, terjadi satu perkara bodoh yang tidak sepatutnya aku lakukan. Setelah seharian berhempas pulas, petang itu aku perlu menghantar anakku ke pusat tuisyen. Jam 8.30 malam, tuisyen itu akan bermula.
Dalam kekalutan ,jam 8 malam itu aku segera menyarung kasutku. Dalam gelap aku pakai kasut tu. Cepat-cepat, nanti lewat pulak. Hidupkan enjin kereta dan terus pandu menuju ke Kangar. Dah sampai, aku turunkan anakku di Pusat Tuisyen IKIN.
Sementara menunggu anakku tamat tuisyen jam 10.30 malam nanti, isteriku ajak ke pasaraya untuk beli barangan yang diperlukan. Masuk pasaraya, aku rasa jalanku tidak berapa betul. Kasut ku terasa agak keras sebelah kiri. Aku merungut dalam hati, kenapa kasut ni keras sebelah..baru jer beli.
Jalan lagi dalam pasaraya tu..Rasa nak terjatuh pula..hish ..Kaki ni tak betul pula. Geram betul aku . Aku berhenti dan tunduk ke bawah tengok kakiku. Alamakkk..sapa tukar kasut aku lak? Kasutku berbeza...kaki kanan pakai kasut yang lain. Kaki kiri pula kasut lain....
Malu....aku sembunyi kat rak barang. Isteri aku datang dan tengok kaki aku. Dia tergelakkkk...sampai keluar air mata.Gelak dan terus gelak kat aku tak berhenti-henti...Aku kasi duit kat dia untuk beli barang. Aku pula terus belah keluar pasaraya tu.. Jalan terus...buat-buat tak tahu jer...macam tiada apa-apa pun. Cari kereta dan masuk duduk dalam kereta diam-diam. Tak berani nak keluar dah..Nanti orang nampak aku pakai kasut tak serupa..
Aduh , malunya aku. Mengapa aku jadi begini ???
Wednesday, February 18, 2009
Monday, February 16, 2009
Rakyat muak, generasi muda alergik dengan Umno - Dr Asri
Azamin Amin Tue | Feb 17, 09 | 12:49:51 am MYT | |
KUALA LUMPUR, 17 Feb (Hrkh) -"PAS juga kena berhati-hati. Penyakit yang ada di tubuh Umno hari ini tidak mustahil akan merebak ke tubuh PAS apabila berkuasa.'Kuasa dan harta' bukan sedikit ujiannya." Suaranya vokal dan adakalanya kontroversi namun ramai yang 'merindui' pendapatnya yang berpaksikan tafsiran agama dan tidak bias kepada mana-mana pihak. Penolong Pengarang Harakahdaily AZAMIN AMIN sekali lagi mendapatkan pandangan kritis bekas Mufti Perlis Dr. Asri Zainul Abdin yang kini berada di Lampeter, United Kongdom. Beliau sedang menjalankan kajian atas perbandingan tafsiran hadis antara kelompok tradisi dan modernis serta dalam cuti sabatikal yang diberikan oleh Universiti Sains Malaysia. Harakah: Mengapa Dr. lebih awal meletakkan jawatan sebagai Mufti dan tidak berhasrat menyambung semula ? Inikah yang dinamakan berundur sebelum berjuang? Boleh beritahu sebab letak jawatan sebenarnya? Dr Asri: Ya! Ratusan email, sms dan berbagai yang dihantar kepada saya menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan saya meninggalkan jawatan mufti. Mereka berpendapat saya membuat keputusan yang tidak tepat. Alhamdulillah, saya berterima kasih atas keprihatinan mereka. Saya bertawakkal kepada Allah atas segala perancangan. Sekarang ini pun banyak email yang dihantar menjemput saya pulang dengan ditawarkan berbagai-bagai urusan atau 'tanggungjawab'. Biarlah dulu saya di sini. Saya tidak jadi mufti untuk mengaut kesenangan. Alhamdulillah, sama sekali tidak. Saya serahkan urusan jiwa ini kepada Allah. Saya hanya ingin menjadikan jawatan itu sebagai medan tanggungjawab dan menyampaikan mesej Islam yang saya fahami. Saya berdoa kepada Allah sebelum menjadi mufti agar diberikan pertolongan kepada saya. Alhamdulillah, walaupun ada yang tidak bersetuju dengan saya, tetapi dalam tempoh tersebut pandangan dan isu yang saya lontar telah menjadi bahan perbincangan ilmu dalam masyarakat. Soal pro dan kontra itu perkara biasa. Jika perkara itu tiada pro dan kontra bererti tiada siapa yang mengambil peduli mengenainya. Banyak bahan telah saya tulis dalam tempoh tersebut dan tersebar dengan begitu luas. Begitu juga ceramah, kertas kerja, wawancara saya di sana-sini menjadi bahan yang diperbincangkan dengan meluas. Alhamdulillah, generasi muda dan lapisan terpelajar yang suka membaca sebelum membuat penilaian, yang tidak menjadikan maki-hamun sebagai landasan hidup, yang tidak mengulas sebelum mengetahui, mereka ini begitu ramai yang memberikan sokongan yang besar kepada saya. Dalam politik juga saya rasa, alhamdulillah, akhirnya banyak pihak akur bahawa saya tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam memberikan pandangan. Saya beberapa kali dijemput oleh Kerajaan Kelantan. Kali terakhir sebelum saya berhenti, saya sempat hadir jemputan ceramah Kerajaan Negeri Kelantan untuk Tabung Serambi Mekah yang di lancarkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sehari kemudian, saya dijemput oleh Perdana Menteri untuk memberikan ceramah khas kepada ahli kabinet dan Majlis Tertinggi Umno dan hadirin yang hadir. Beberapa hari kemudian saya dijemput oleh Pemuda Parti Keadilan untuk memberikan tazkirah, tapi saya tidak sempat. Semasa saya sampai ke United Kingdom, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menjemput saya memberikan ucapan dalam Majlis DAP. Cuma saya tidak dapat pulang. Saya berharap saya sudah cuba melakukan sesuatu. Saya cuba mengemukakan 'politik idea' mengatasi sempadan politik kepartian. Apa yang menjadi matlamat bukan menegakkan parti tertentu, tetapi menegakkan fikrah Islamiyyah yang lebih besar dari kesempitan parti. Alhamdulillah, jumlah pembaca artikel saya juga begitu besar. Melalui ruangan saya dalam Minda Mufti, saya bersahabat baik dengan berbagai insan ternama. Saya rasa banyak mesej saya telah sampai. Saya memerah tenaga dalam tempoh dua tahun. Bersabar atas kerenah mereka yang suka memfitnah atau mengganggu perjalanan tersebut. Saya harap Allah berikan pahala atas itu semua. Harakah sendiri pada awalnya begitu prajudis, tetapi setahun tahun sebelum saya berhenti, kelihatannya positif. Akhirnya, apabila saya rasa ruang jawatan itu 'sudah mula sempit' atau sudah memadai, maka saya beristikharah untuk berhenti. Itupun baik juga. Ia menafikan fitnah mereka yang 'tidak sayang lidah mereka di akhirat' bahawa kenyataan atau pendapat saya selama ini untuk kesinambungan jawatan. Alhamdulillah, sama sekali tidak. Semoga Allah merezekikan kita semua melihat jawatan dan kedudukan dengan penuh rasa amanah dan gerun. .Dr. dilihat sangat vokal dan adakalanya 'mempersembahkan' pemikiran agama dari sudut yang berbeza, adakah mencari kelainan serta seringkali mentafsirkan hukum agama dari sudut yang berbeza dan adakalanya tidak pernah didengari umum seperti soal-soal bidaah seperti kenduri arwah, tahlil di kubur dan dikatakan tidak mengikut tradisi yang telah dilakukan oleh nenek moyang? Adakah mereka tidak betul sebelum itu ? Malah Dr. dilabel sebagai liberal, kaum muda dan wahabi dan sebagainya lantaran pembaharuan yang dibawa? Inilah masalah sesetengah pihak. Mereka tidak dapat menerima orang lain berbeza pendapat dengan mereka. Melabel orang tanpa asas yang jelas adalah budaya buruk. Dahulu masa Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebelum menjadi Menteri Besar pun terkena tohmahan yang sama ketika beliau melontarkan beberapa pandangan yang berbeza dengan pengajian biasa di pondok-pondok. Syeikh Abu Bakar al-Baqir dari Gunung Semanggol yang mengasaskan Hizbul Muslimin semasa hayatnya dituduh sebagai kaum muda dan sesat. Prof. Burhanudin al-Helmi juga pernah dituduh sebagai kaum muda. Demikian Sayyid Syeikh al-Hadi, Zaba dan berbagai lagi pejuang perubahan dituduh dengan tuduhan yang sama. Saya teringatkan kata-kata Zaba dalam bukunya "Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri" yang Prof DiRaja Ungku Aziz kirimkan kepada saya agar saya baca. Antara katanya:"Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu - iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang - maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti "sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu" dan berbagai-bagai lagi. Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat. Demikian kata Zaba. Apabila saya menjadi mufti sesetengah pihak menunggu agar saya membangkitkan isu-isu tradisi melayu seperti kenduri arwah dan seumpamanya. Namun mereka tersilap, alhamdulillah perhitungan dan fokus pemikiran Islam saya merentasi kesempitan isu yang mereka tunggu bagaikan nak kiamat itu. Ada anda lihat isu kenduri arwah menjadi tajuk utama akhbar dalam senarai puluhan isu yang telah saya bangkitkan. Maksudnya kenduri arwah itu sudah lama dilarang? Kemudian, saya ingin bertanya, apakah jika seseorang tidak mahu kenduri arwah maka dia menjadi wahabi? Kitab al-Fiqh al-Manhaji 'ala Mazhab al-Imam al-Syafi'i tulisan tokoh-tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafi'i , iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan 'Ali al-Syarbaji. Namun apabila saya baca antara apa yang disebut dalam kitab tersebut: "Daripada bid'ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya. Apakah semua penulis itu wahabi?!!.Jika kita tengok kitab-kitab melayu jawi kita dapati perkara yang sama. Kata Syeikh Daud al-Fatani (semoga Allah merahmatinya) dalam Bughyah al-Talab: "(dan makruh) lagi bid'ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid'ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya." Demikian juga kenyataan dibuat oleh al-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi menyebut: "Maka bid'ah yang tidak elok." Apakah mereka semua juga wahabi?!!. Saya tidak tahu apa itu wahabi melainkan setelah mereka menyebut perkataan tersebut lalu saya terpaksa mencari maksudnya. Saya bukan penggemar buku Muhammad bin Abdul Wahhab. Tetapi, jika anda menuduh saya amat terpengaruh dengan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, itu mungkin benar. Saya seperti yang Dr. Yusuf al-Qaradawi sebut tentang dirinya dalam buku Kaifa Nata`amul ma`a al-Sunnah, kata Dr al-Qaradawi: "Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku". Saya rasa, saya pun demikian. Namun, alhamdulillah, saya tidak fanatik Ibn Taimiyyah seperti mereka yang fanatik mazhab. Seperti kata al-Imam Malik bin Anas:"Setiap orang boleh diterima dan ditolak pendapatnya, melainkan Nabi Muhammad s.a.w yang maksum. Mengapa lagu Dr. bertajuk "Aku Bukan Musuh Harta" yang dimuatkan di dalam album Yang Benar Tetap Benar nyanyian Kopratasa, Aishah dan kumpulan baru Algebra diharamkan oleh RTM? Sebenarnya banyak pihak tersalah faham. Album tersebut bukan terbitan saya. Pihak penerbit mengambil puisi-puisi saya dengan keizinan dan dijadikan lagu. Itu sahaja. Mereka jemput saya baca dua puisi dalam album tersebut. Lagu 'Aku Bukan Musuh Harta' adalah salah satu daripada puisi saya. Saya tidak berkempen untuk saudara membeli album itu, kerana bukan semua orang setuju dan suka dengar lagu. Cuma saya pun hairan jika lirik itu menjadi ketakutan kepada RTM. Barangkali mereka takut ramai yang terasa pedas. Saya hairan, jika benar mereka ingin membantu memerangi rasuah, biarlah lirik itu dilagukan. Entah berapa banyak lirik yang merepek boleh dibenarkan. Saya teringat kata-kata Presiden PAS Almarhum Ustaz Fadhil Noor yang kebetulan agak baik dengan saya. Katanya: "Orang kalau salah, dia tengok polis nak balik rumah pun dia takut." Kemenangan Pakatan Rakyat di Permatang Pauh oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim dan di Kuala Terengganu oleh Abdul Wahid Endut daripada PAS baru-baru, bagaimana Dr sendiri tafsirkan dan 'signal' apa sebenarnya daripada rakyat ? Maaf, saya tidak merasa bahawa itu menunjukkan atau bererti majoriti rakyat telah begitu selesa dengan pakatan pembangkang. Kita tahu bukan semua orang PAS selesa dengan KeADILan. Demikian sebaliknya. Demikian juga DAP yang menolak konsep Negara Islam PAS. Apa yang jelas bagi saya adalah rakyat muak dengan Umno. Rakyat sudah tidak tahan dengan kerenah, perangai dan gelagat kebanyakan orang Umno. Generasi muda terutamanya, kelihatan begitu 'allergic' dengan Umno. Berdasarkan pengalaman lepas, tiada lagi gambaran indah Umno dalam fikiran mereka. Mereka melihat Umno hanya menjaga kepentingan kelompok. Ramai yang bongkak dan sombong. Kebelakangan ini baru nampak macam nak berubah sedikit. Itupun masih tidak cukup. Baru-baru ini, kebetulan saya 'terjumpa' seorang menteri di London, saya bertanya dia tentang pilihanraya Kuala Trengganu. Dengan lagaknya dia berkata: "Apa lagi rakyat mahu, semua kita dah beri". Tengok, masih lagi sombong dan enggan menilai diri dan parti walaupun telah berulang kali dia ajar oleh rakyat. Saya fikir Umno tahu apakah ubat yang menyembuhkan penyakit parti itu, tetapi mereka tidak mampu lakukan. Ubatnya adalah dengan memotong atau membuang segala barah penyakit yang hidup dalam tubuh Umno. Itu terlalu sukar bagi kepimpinan Umno kerana sebahagian yang tidak kecil dalam kepimpinan itu sendirilah barah penyakit tersebut. Jika rawatan dilakukan, bererti mereka akan terkorban. Bagaimana pula pandangan Dr. terhadap PAS ? PAS juga kena berhati-hati. Penyakit yang ada di tubuh Umno hari ini tidak mustahil akan merebak ke tubuh PAS apabila berkuasa.'Kuasa dan harta' bukan sedikit ujiannya. Kita semua jangan cakap besar dan takabur. Hari ini kuasa dan ruang mendapatkan harta masih sedikit, maka barah pun masih kecil. Barah itu ada potensi berkembang apabila ruang harta dan kuasa membesar. Hati-hati, banyakkan doa dan pohon perlindungan dengan Allah. Jangan cuma runtuhkan jahiliah, lalu tegakkan jahiliah baru dengan nama yang baru. Jahiliah tetap jahiliah. Adapun KeADILan, maaf saya masih kabur untuk membezakan sebahagaian mereka dengan Umno. Jika dilihat pada gelagat, gaya bahasa dan hidup, cara fikir, saya agak ramai di kalangan mereka masih Umno, cumanya tidak berpuas hati dengan Umno atas beberapa sebab semasa, bukan prinsip. Tidak mustahil bila-bila waktu mendesak mereka akan kembali menjadi Umno. Mungkin bukan semua, tetapi ramai juga yang begitu. Saya suka jika kita berpegang kepada prinsip. Saya setuju dengan apa yang Naib Presiden PAS Mohammad Sabu pernah kata dalam satu temubual yang saya baca. Beliau hairan mengapa PAS dapat menerima 'lompat parti' apabila KeaDILan menguar-uarkan 16 September lepas, sedangkan dahulu PAS sendiri yang mengatakan lompat parti adalah tidak berprinsip dan khianat. Hari ini berlaku 'lompat parti' di Perak, sekali lagi PAS menyatakan ini pengkhianatan dan tidak berprinsip. Mengapa PAS tidak mengatakan hal yang sama pada 16 September yang lepas. Maaf, saya tidak mahu terbabit dengan kerenah politik. Marilah kita pohon agar Allah menjadikan kita sentiasa beristiqamah atas kebenaran terhadap kawan ataupun lawan. Itulah Islam yang sejagat lagi adil, jika kita ingin tegakkan. Ada yang mengatakan institusi Mufti ini 'beku' dan tidak lantang dalam mempersoalkan kelemahan kerajaan, benarkah begitu dan pernah Dr. sendiri mengkritik kerajaan khususnya melibatkan persoalan agama? Ada contoh? Saya tidak mahu bercakap tentang institusi mufti lagi. Sudah banyak kali saya cakap. Cukup saya katakan saya kecewa, Majlis Fatwa Kebangsaan patut mengepalai isu-isu umat Islam, seperti fatwa tentang isu Palestin. Anda boleh baca tulisan-tulisan saya yang mengkritik fungsi mufti dan majlis fatwa. Sehingga saya terfikir negara ini perlukan Majlis Fatwa yang bebas, dibiayai oleh institusi wakaf. Maka fatwa-fatwa itu nanti akan benar-benar mewakili umat. Jika anda lihat di Indonesia, Majlis Ulama Indonesia (MUI) hampir mendekati maksud ini. Adapun saya, kepada Allah saya serahkan segalanya. Anda tahu semasa saya menjadi mufti, saya memberikan teguran kepada semua pihak, termasuk kerajaan, pembangkang, artis, pihak swasta dan lain-lain. Anda boleh lihat berbagai isu saban minggu semasa saya menjadi mufti. Pernah saya mengkritik upacara yang dilakukan di Tugu Kebangsaan oleh kepimpinan negara. Dari sudut politik, apakah yang boleh Dr. nasihatkan kepada pejuang-pejuang agama agar tidak lari dari daripada asas agama selain parti pemerintah agar berubah demi kepentingan rakyat? Saya ingin nasihat diri saya dan mereka yang menyatakan berjuang untuk Islam dengan nasihat yang pernah diberikan oleh al-Syeikh Maulana Abul Hasan Ali al-Nadwi dalam risalahnya Uridu an atahaddatha ila al-Ikhwan (Aku Ingin Berbicara Dengan Al-Ikhwan al-Muslimin). Beliau pernah nasihati Jamaah al-Ikhwan al-Muslimin dengan nasihat ini:- "Wahai Ikhwan Muslimin yang mulia! Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami (pembaharuan Islam) itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain. Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu, atau menghadapi buta huruf dan kejahilan, atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti yang diperjuangkan oleh para pejuang perubahan di Barat dan Timur." Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, ruh dan jasad. Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal. Ia terpancar dari hati sanubari sebelum terbit dari pena, atau helaian buku, atau mimbar syarahan. Ia terlaksana dalam tubuh pendakwah dan kehidupannya sebelum dia menuntut dilaksanakan dalam masyarakat keseluruhannya. Istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi adalah ketulusan mereka dari memikiran kepentingan kebendaan, hasil yang segera. Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredhaan Allah. Melaksanakan perintahNya dan menunaikan risalahNya. Akal dan pemikiran mereka tulus dari amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperolehi kerajaan. Bahkan itu semua tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka. ... maknanya tujuan tubuhkan kerajaan demi capai matlamat agama? "Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka pada waktu mereka dan kekuatan yang diperolehi pada masa itu hanyalah hadiah daripada Allah. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum-hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan. Kata Abul Hasan lagi:"Bukanlah sama sekali kerajaan yang diperolehi itu salah satu dari matlamat mereka. Bukan jua salah satu dari tujuan mereka. Tidak jua dari tajuk perbicaraan mereka, atau salah satu dari mimpi mereka. Hanya ia adalah hasil semulajadi untuk dakwah dan jihad. Sama seperti buah yang merupakan hasil semulajadi dari kesuburan pokok dan kesungguhan pembajaannya..". Katanya juga:"Wahai tuan-tuan! Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju, dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan, akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehinya, atau hilang harapan mendapatkannya. Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya. Bahaya bagi setiap jamaah yang pemikiran mereka dibentuk atas cinta (mendapatkan) kerajaan (kuasa) dan berkerja untuk itu. Kerana ia akan menyebabkan mereka meninggalkan jihad di jalan dakwah atau boleh terpaling dan terseleweng tujuan mereka. Sebabnya, uslub (cara) untuk mendapatkan kerajaan berbeza dengan uslub dakwah. Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa kita, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara muslim, mengeluarkan manusia dengan izin Allah- dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliyah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya. Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah Allah dan kemenangan pada Hari Akhirat. Juga kerana apa yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNya dari ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kesian kasih kepada insan yang tersiksa, dan keinginan terhadap keselamatan manusia. Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa -setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah- tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Demi kemaslahatan dakwah. Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, kusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain. Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya. Kesemua itu dalam redha Allah, kesemuanya pada jalan Allah. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah. Itu sebahagian nasihatnya. Nasihat saya, semoga jiwa saya dan saudara semua, sama seperti yang dinasihati oleh tokoh yang besar ini. Kita membawa mesej dakwah Islam yang kudus. Jangan kita berpolitik sehingga kita terlupa siapa kita? Apakah matlamat kita? Selalu kita bertanya apakah tindakan kita, jika baginda s.a.w hadir melihatnya, maka baginda akan setuju dan menyokong kita?.- azm |
Fikir-fikirkan...
KES disiplin timbul lagi; kali ini di Klang; empat orang pelajar ditikam oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali.
Pada hari berita itu disiarkan, seorang pelajar saya ditumbuk oleh seorang pelajar lain, dan sebelum pergaduhan menjadi lebih teruk, perbuatan mereka dihentikan sekumpulan pelajar lain yang berada di situ dan kedua-dua yang terlibat diberi ubat gosok kerana mereka lebam sedikit dan oleh kerana tiada kecederaan teruk, mereka enggan ke hospital dan saya meminta kedua-duanya kembali ke kelas semula.
Saya tidak dapat buat apa-apa lebih dari itu.
Selama tempoh saya mengajar, hampir semua pelajar yang saya kenal, bermula dari kelas yang terbaik sehinggalah ke kelas yang tercorot kerap tertinggal buku di rumah. Pengalaman saya sebagai guru mengajar, apabila pelajar tidak bawa buku teks, maksudnya mereka tidak mahu belajar. Jika mereka tidak bawa buku latihan, maksudnya mereka tidak siap kerja. Jika mereka tidak bawa satu apa pun ke sekolah, maksudnya mereka tidak mahu belajar, dan tidak peduli apa pun, sebaliknya datang ke sekolah semata-mata untuk berjumpa kawan dan keluar dari rumah.
Selalunya apabila mereka tidak bawa buku, saya terpaksa meminta mereka meminjam dari kawan, atau menyalin di dalam kertas lain, dan ditampal dalam buku apabila pulang ke rumah. Saya tahu, mereka tidak akan tampal dalam buku, tapi saya terpaksa juga menyuruh demikian, kerana bimbang mereka akan mengganggu rakan lain yang membawa buku.
Saya tidak dapat buat apa-apa lebih dari itu.
Beberapa minggu lalu, ada seorang pelajar saya dibuang sekolah atas masalah disiplin. Ibunya datang menyerang guru disiplin di sekolah yang memang sudah biasa diserang ibu bapa.
Kami guru-guru hanya meminta ibu itu membawa anaknya ke Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri dan memohon masuk ke sekolah semula. Permohonannya dibenarkan (kerana kita ada dasar pendidikan wajib sehingga usia 17 tahun) dan pelajar saya ini datang ke sekolah semula.
Sikapnya masih sama; tidak bawa buku teks dan buku latihan, asyik bermain dalam kelas dan mengganggu rakan yang lain. Apabila saya katakan "Awak ni baru saja datang selepas dibuang sekolah, mengapa masih tidak ubah sikap?", dengan angkuhnya dia berkata kepada saya, "Kalau kena buang sekali lagi pun, saya masih boleh masuk semula. Ini bukan urusan cikgu". Seterusnya saya meminta dia duduk dengan senyap dan melarang dia mengganggu rakan lain. Tetapi, kerana marah dengan saya, pelajar saya itu keluar dari kelas tanpa kebenaran dan tidak kembali sehingga tamat waktu pelajaran saya. Dia tidak masuk kelas juga pada waktu guru lain masuk mengajar. Kawan-kawannya memberitahu saya yang dia telah melompat keluar dari pagar sekolah. Saya hanya dapat mendengar.
Saya tidak dapat buat apa-apa lebih dari itu.
Saya dan mana-mana guru pun di Malaysia ini memang tidak boleh buat apa-apa. Apa yang boleh kami buat ialah menolak markah demerit dan apabila habis markah ditolak, pelajar itu akan dibuang sekolah dan selepas beberapa minggu, mereka akan kembali semula. Semua tindakan yang boleh diambil adalah di atas kertas semata-mata, dan pelajar pun tidak tahu-menahu tentangnya.
Bagaimana kita hendak selesaikan masalah disiplin jika kita asyik hendak berpolitik dan memenangi hati ibu bapa, tanpa menyedari yang kita telah menyembunyikan satu bahagian realiti dunia daripada anak-anak kita? Realiti yang telah kita sembunyikan ialah dunia ini boleh menghukum semua jenis kesalahan. Realitinya ialah, majikan boleh membuang pekerja yang malas. Kita telah sembunyikan realiti ini dari anak-anak kita sebab kita hendak ibu bapa menyokong kita.
Saya mohon Utusan Malaysia siasat bidang kuasa guru; apa yang boleh dan apa yang tidak boleh guru lakukan untuk menguruskan hal disiplin sekolah. Barulah masyarakat tahu realitinya; menjegil mata kepada murid pun sebenarnya menyalahi peraturan.
AKMAL FAIRUZ
IPBA, Jalan Pantai Baru
Utusan Malaysia ISNIN 16 Februari 2009 / 20 Safar 1430Apa cikgu boleh buat ? Silap haribulan cikgu kena saman. Dah tu kena tindakan tatatertib pula..Kena itu dan ini..Tiada siapa nak bela cikgu. Dipersalahkan lagi ...Jadi, cikgu buat apa yang patut sudah ler..Jangan sampai terancam, jika tidak diri pula yang terancam.
Sunday, February 15, 2009
Jom , tengok harimau pula..
Ikut penjaganya, harimau ini masih dalam kategori 'anak-anak'. Masih bebudak lagi. Ibu bapa dan nenek harimau ni ada dalam kurungan sangkar besi di sebelah belakang. Bersebelahan dengan bukit yang tinggi.
Walaupun masih anak-anak tapi kalau jumpa dalam hutan...naya ler. Memang besar dan menggerunkan. Melihat harimau sebenar dari jarak dekat memang menggerunkan.
Sebenarnya aku dan geng telah dibenarkan masuk ke bahagian belakang kurungan harimau ni. Bahagian sebenar harimau-harimau ini dikurung dalam sangkar besi yang terletak di antara tebing bukit yang tinggi. Di bahagian ini kami boleh tengok induk harimau yang asal. Induknya sudah tua. Dalam sangkar besi tu ada lagi beberapa ekor harimau yang lebih besar dari anak-anak harimau kat luar . Sama tinggi dengan lembu. Kukunya...kena sebelah kakinya pasti terbang muka aku.
Kami masuk ke kandang besi untuk tengok induk harimau tu ikut tepi pagar kat belakang harimau tu. Lelaki yang berbaju putih tu merupakan salah seorang jurulatih kat situ. Bahagian belakang tu adalah tebing bukit yang tinggi. Bahagian ni dipisahkan oleh pagar seperti pagar sekolah jer tetapi tinggi..
Bukan semua orang boleh masuk tengok harimau tu di bahagian belakang dalam sangkar besi tu. Cuma pelawat yang ada kebenaran khas saja boleh masuk. Kami diiringi oleh jurulatih harimau tu. Jurulatih tu pun ada tiga orang. Kami tidak dibenarkan ambil gambar di sini. Tak boleh rapat dengan sangkar besi atau buat pergerakan agresif. Takut harimau tu bertindak ganas. Cakap dengan suara kuat pun tak boleh...
Meremang bila tengok harimau tu dari jarak dekat. Hanya dipisahkan dengan palang-palang besi. Eish..kalau dibuatnya pecah sangkar tu, mati ler kami semua dibaham harimau empat lima ekor tu. Tak boleh nak lari sebab terkepung dengan dinding bukit yang tinggi dan pagar besi. Nak minta keluar , takut dikatakan pengecut. Rugi gak kalau keluar sebab bukan selalu boleh alami situasi macam ni.
Ada le kira-kira 30 minit kami tengok tok nenek anak-anak harimau tu kat sangkar besi di belakang kurungan harimau tu. Lega rasanya bila dah keluar...tapi pengalaman tu memang best. Kalau nak tengok harimau macam aku dan geng, pergi ler berkunjung ke Lost World of Tambun.
Buat surat, baru dapat akses istimewa...
Orang kata harimau tidak boleh panjat pokok..Tengok ni..harimau ni panjat pokok untuk ambil daging yang ditarik dengan tali ke atas pokok tu...Mudah saja harimau tu panjat..hanya dengan sekali terkam jer..terus panjat ke atas dan dapat daging tu.
Kalau dikejar harimau, janganlah cari jalan selamatkan diri dengan panjat pokok. Kenalah cari jalan lain untuk selamatkan diri..Harimau ni kan dari keluarga kucing..sama ja cuma saiz berbeza..
Friday, February 13, 2009
Cameron Highland
Kami ikut jalan Simpang Pulai. Jalannya berliku-liku. Ni yang paling aku tak suka. Boleh buat aku pening kepala tapi rasanya jalan baru ni lebih baik daripada ikut jalan Tapah. Jalan ikut Tapah lagi teruk. Banyak sangat korner baring.
Pemandangan yang menghijau boleh membantu mententeramkan keadaan. Best...hijau semua dan pemandangan jauh , sejauh mata memandang.Tapi Cameron pun dah semakin tercemar. Sepanjang jalan nampak lereng bukit dipotong sewenang-wenangnya. Risau gak, buatnya runtuh tebing jalan tu..naya ler. Dengan aku sekali lepas ke bawah...
Ni lah apartmen tempat kami semua tumpang tidor. Boleh ler, nak kata best sangat tu tidak la. Ada la privasi. Tapi kat sini susah nah cari makanan sebab jauh dari bandar. Tak ada gerai makanan. Nak masak, tak ada bekalan. Masak mee segera la jawabnya.
Ini pula kat pintu masuk Pusat penyelidikan Mardi. Pemandangan sini memang best.Ada ala-ala perkampungan Inggeris. Cantiknya bunga-bungaan tu. Multi color...
Ni pula bunga mawar kat Pusat Penyelidikan Mardi. Sini memang bermanfaat sebab boleh gak dapat sikit ilmu. Boleh tengok pokok bunga, pokok teh, strawberry dan macam-macam lagi.
Satu yang tak best. Sini pun ada Bangla yang bekerja sampai tukang jual strawberry pun bagi kat Bangla. Mana pergi anak tempatan ? Melayu tiada, Cina dan India pun tiada.
Inilah rupanya buah strawberry tu. Kat kampung aku buah ni tak ada. Jadi aku pun tengok dekat-dekat. Dah tengok dekat tu, aku pun pegang-pegang. Selepas pegang, aku masukkan buah tu dalam mulut. Best gak rasanya. Masam-masam manis.. Segar dari pokok. Mujur Bangla tu tak nampak. Tadi aku dengar Bangla tu larang seorang pelawat petik buah tu. Kena beli, katanya. Tak apa, Mardi tak rugi pun kalau aku rasa sebiji jer.. lagipun tadi kami dah beli banyak buah strawberry kat Bangla tu. Sebiji pun tak kasi lebih.
Inilah Bangla tu.. Sibuk betul si Bangla ni menjual buah-buah strawberry tu kat bebudak aku. Entah berapa banyak wang bebudak tu habis kat sini saja. Tak menang tangan dibuatnya.
Ini masih lagi kat Pusat Penyelidikan Mardi..tengok saja ler.Ambil tahu apa-apa yang patut sebagai makanan minda.
Di sini pula ada jual banyak sayur-sayuran dan madu. Madu lebah ler.. bukan madu yang satu lagi tu. Tapi perlu berhati-hati sebab ada madu lebah yang dicampur. Aku dapat satu botol madu lebah tulin. Power...Terima kasih, apek sebab jual madu lebah tulen.Apek tu ada cerita tentang madu tu kat aku. Macam mana nak tahu madu lebah tu tulen atau dah dicampur..
Ni pula pemandangan kawasan ladang sayur dan bunga kat sana. Berbeza dengan ladang sayur kat kampung aku. Sini semua ada bumbung.. Kat kampung aku, rumah dan dangau ja ada bumbung..
Thursday, February 12, 2009
Panas oh panas...
Silap sikit saja semua nak terbakar. Rumput dan lalang jadi kering. Habis kuning..tunggu nak mati. Angin pula bertiup kencang. Jika ada sesiapa yang buang puntung rokok yang masih berbara, silap haribulan api akan marak membakar apa saja yang ada. Semak belukar terbakar , begitu juga rumput dan lalang di tepi jalan.
Hujan pula dah lama tidak turun menyiram bumi. Tanah yang hitam pun dah mula bertukar warna menjadi lebih cerah malah dah mula merekah. Tiada lagi terdengar suara sang katak memanggil hujan. Mungkin sang katak pun sudah berhijrah mencari habitat baru yang lebih selesa.Kelmarin terdengar bunyi guruh jauh di atas langit. Lega hati sikit ..mungkin tak lama lagi hujan akan turun tapi hari ini suara guruh tu dah tak kedengaran lagi. Hilang begitu saja..yang tinggal bahang yang membara.Panas..panas...hangat dan hangat..
Suhu panas macam ni boleh menyebabkan macam-macam jadi panas. Badan jadi panas..Hati pun turut panas. Bila hati panas, orang mudah marah. Bila dah marah, macam-macam boleh terjadi. Bergaduh hanya kerana perkara yang remeh-temeh. Langgar lampu isyarat, langgar kereta orang kerana tak tahan berjemur panas di jalan raya.
Harap suhu panas ni tak lama lagi akan berakhir....
Tuesday, February 10, 2009
KFC
Pada awal tahun 80an dulu, Perlis tak ada Restoran KFC. Tapi sekarang dah ada .Tu pun cuma ada dua buah saja. Kedua-duanya di Kangar. Jika dibandingkan dengan negeri lain, KFC di Kangar tu kira kecil saja la.
Jadi sebelum KFC wujud di Perlis, susah la nak merasa KFC. Kalau nak merasa kena pergi Alor Star atau Pulau Pinang. Bagi bebudak zaman tu, kalau boleh merasa KFC tu kira hebat la. Apatah lagi jika boleh masuk, duduk dan makan dalam restoran tu... Macam iklan dalam tv, sehingga menjilat jari.
Nak jadi cerita, seorang rakan aku pergi ke rumah abangnya di Pulau Pinang. Masa tu dia baru tingkatan 4. Keluarga abangnya bawa pergi makan KFC sebab di Perlis tak ada KFC. Seronok la kawan tu.
Masa makan tu, dia guna garpu dan pisau. Tak mahu guna tangan. Tiba-tiba , ayam tu terpelanting terus masuk ke bawah meja pelanggan lain.Apa lagi...malu laa. Semua orang tengok. Mana mari ni...
Bila balik, kawan aku pun cerita pengalaman tu. Kami hanya mampu gelak saja ler..Sebab kami pun tak pernah merasa KFC. Cuma pernah tengok dalam tv jer...zaman tu ler.
Thursday, February 5, 2009
Janji oh janji..
22 Km dari Kangar
5 Km dari Kaki Bukit
18 Km dari Padang Besar
15 Km dari Sempadan Wang Kelian
0.5 Km dari Empangan Timah Tasoh
Aku sampai di sana kira-kira jam 1.15 minit petang. Ingatkan aku dah terlewat sebab pada hari pendaftaran, aku dimaklumkan oleh pihak Pusat Kokurikulum bahawa murid boleh pulang jam 1.00 petang. Rasa bersalah pula kerana lambat sampai . Risau juga biarkan anak menunggu lama-lama. Rupa-rupanya semua murid belum dibenarkan pulang lagi.Ramai ibu bapa yang sedang menunggu anak masing-masing. Tengokkan wajah mereka semua tu, aku dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena.Macam orang sakit hati saja.Selepas parking kereta, aku terus masuk ke Pusat Kokurikulum tu. Tanya cikgu yang bertugas di situ.
"Macam mana, dah boleh balik ke bebudak ni?", tanya aku. "Maaf la..bebudak ni balik lewat sikit. Kira-kira jam 3.30 petang baru boleh balik. Ada perasmian penutup oleh Timbalan Pengarah ,"kata cikgu tu. "Laa , pulak dah. Hari tu semasa pendaftaran , cikgu kata boleh balik jam 1.00 tengah hari,"protes aku.
"Nak buat macam mana..Timbalan Pengarah nak datang pula,"katanya. Lalu aku segera memberi alasan untuk mengambil juga anak aku. Cikgu tu jawab,"Kalau anak encik saya benarkan pulang, anak orang lain pun ikut juga. Jadi, sekejap lagi tiada orang pula sewaktu Timbalan Pengarah sampai nanti."
Dalam hati, aku rasa kurang senang dengan sikap orang yang tidak menepati janji. Kalau ikut rasa hati, mahu saja aku bawa pulang begitu saja anak aku tu..tak perlu minta izin lagi. Pusat Kokurikulum sepatutnya merancang jadual waktu yang betul. Bukannya sekejap begitu, sekejap begini. Berdolak-dalik. Langsung tidak menggambarkan kualiti dan profesional yang dicanangkan.
Bagi pihak Pusat Kokurikulum, perkara itu mudah sahaja tetapi bagi ibu bapa, ketepatan masa adalah perkara penting. Sewaktu berbual dengan ibu bapa yang lain, semuanya meluahkan rasa tidak puas hati dengan sikap tidak menepati janji ini. Sebabnya, kelewatan masa itu terlalu lama. Bukannya 15 minit tapi 2 jam 30 minit. Jika 15 minit masih boleh ditunggu tapi ini...naya le aku.
Bayangkan..ada ibu bapa yang datang dari sempadan Perlis/Kedah untuk ambil anak di sini pada waktu yang dijanjikan. Bila dah sampai, kena tunggu 2 jam 30 minit lagi. Apa yang nak dibuat dalam tempoh masa tu? Buang masa saja jawabnya. Apatah lagi, ada yang tinggalkan kerja seketika untuk urusan ini tetapi apabila sampai begini pula jadinya.
Bagi aku, masa perjalanan selama 30 minit dibuang begitu saja. Takkan aku nak berpatah balik semula ke rumah dan datang sekali lagi jam 3 petang nanti. Dah la minyak mahal. Ibu bapa bukannya dapat minyak free .Sedih betul.. Apakah mereka fikir, ibu bapa ni tiada kerja yang perlu dibuat? Cuma tunggu ambil anak saja..Apakah mereka fikir ibu bapa cuma perlu goyang kaki tunggu wang ringgit jatuh dari langit untuk sara anak bini ? Mungkin mereka ni tak pernah fikir tentang masalah ibu bapa yang terpaksa berhempas pulas untuk menyara anak bini dan mendidik anak-anak.
Sepatutnya, jadual perlu dirancang dengan elok. Jika ada masalah , beritahu ibu bapa. Sedangkan pada hari pendaftaran, nombor telefon ibu bapa telah pun diambil. Kononnya, jika ada masalah senang untuk diberitahu. Tapi, itu cuma janji saja . Cakap tak serupa bikin. Dah ubah jadual pun tak boleh telefon. Ada teknologi tapi tak guna teknologi yang ada.
Jadi, aku kena tukar rancangan ler. Cari masjid dan sembahayang Zohor. Perut dah berbunyi...lapar da ..tapi hati sakit.Hilang selera makan. Selesai sembahayang, aku cari tempat teduh. Parking kereta bawah pokok dekat kem PLKN. Tunggu jam 3.30 petang...Bazirkan masa. Tunggu dan tunggu dengan hati yang membengkak dan bernanah melihat golongan jurulatih dan guru yang melatih murid-murid supaya tepati janji, tepati masa tetapi jurulatih dan guru tak pula menepati janji dan menepati masa.
Semua ini seperti ketam mengajar anak supaya berjalan betul...atau seperti guru kencing berdiri , maka murid kencing berlari. Jadi budaya tidak menepati masa akan diwarisi zaman-berzaman lagi..