Perjalanan usia yang jauh menjadikan kita semakin memahami erti kehidupan sebenar lalu menghargainya sebagai suatu kenangan dan pengalaman yang tidak boleh dijualbeli.
Monday, April 5, 2010
Wahabi di Malaysia
Di Malaysia pula, Wahabi adalah perkataan misteri. Apa tidaknya, ramai yang menyebutnya atau memfitnah orang lain dengan menggunakan perkataan itu, padahal mereka pun tidak faham.
Bagi mereka, ia senjata untuk mempertahankan diri ketika dikritik. Saya masih ingat, di satu tempat di sebelah Utara, apabila ada imam yang mengenakan bayaran untuk solat dan zikirnya, lalu dia dikritik atas sikap salahguna agama untuk kepentingan diri, dengan mudah dia menjawab:
"Siapa tak setuju dengan saya dia Wahabi".
Pemberi nasihat yang barangkali tidak terdedah kepada banyak maklumat dan kali pertama mendengar perkataan itu, terpinga-pinga bertanya: "Apa itu Wahabi?".
Jawab tok imam: "Siapa yang mengkritik ustaz dia Wahabi". Maka tidaklah berani lagi 'penasihat' itu berbeza pandangan dengan 'tok imam' dan mempertikaikan infallibility ustaz, takut jadi Wahabi.
Di sesetengah tempat, seseorang dituduh Wahabi kerana menentang amalan khurafat. Umpamanya, menggantung gambar orang tertentu seperti sultan atau tok guru dengan kepercayaan boleh menambah untung atau rezeki, atau mengikat benang hitam di tangan bayi yang baru lahir atas kepercayaan menolak sial atau bala dan berbagai kekarutan yang menghantui sebahagian masyarakat.
Malangnya amalan-amalan ini bukan sahaja mendapat restu sesetengah yang bergelar 'ustaz', bahkan merekalah punca. Jika ada yang mengkritik, untuk mempertahankan diri maka 'sang ustaz' itu dengan mudahnya akan menyebut: 'awak Wahabi'.
Sama juga, mereka yang tidak bersetuju dengan kenduri arwah dituduh Wahabi. Padahal kitab Melayu lama Bughyah al-Talab karangan Syeikh Daud al-Fatani sendiri menyebut: "(dan makruh) lagi bidaah bagi orang yang kematian membuat makanan menyeru segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bidaah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya".
Jika pun mereka tidak dapat menerima bahan mereka sendiri, mengapa mereka merasa diri infallible, dan mengharamkan orang lain berbeza dengan mereka dengan menggunakan senjata 'awak Wahabi'.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment