Pokok misai kucing merupakan sejenis pokok berbunga dan sering ditanam sebagai pokok perhiasan. Bunga terdapat pada 'verticil' lebih kurang 16 cm panjang. Bunga berwarna putih kebiru-biruan dengan filamen yang panjang, seperti misai kucing.
Daun Misai Kucing tersusun dalam pasangan yang bertentangan. Daun Misai Kucing berasa licin, berwarna hijau, berbentuk tirus di hujung dan tepi daun berjereja. Tangkai daun pendek, lebih kurang 0.3 cm panjang dan berwarna ungu-kemerahan. Batang pokok Misai Kucing berbentuk empat segi, berwarna kemerahan, tumbuh tegak dan bercabang-cabang.
Herba Misai Kucing boleh ditanam sepanjang tahun dan ia boleh tumbuh setinggi 0.3 hingga 1 meter. Misai Kucing mempunyai bunga yang berwarna putih dan keseluruhan tumbuhan ini boleh digunakan sebagai ubat. Daun pokok Misai Kucing juga digunakan sebagai herba perubatan untuk merawat penyakit kencing manis.
Herba Misai Kucing digunakan untuk memperbaiki saluran kencing dan buah pinggang dan bagi membantu mengelakkan penyakit batu karang. Mengikut kajian yang sudah dibuat, daun nya yang sudah dikeringkan adalah bersifat diuretik dan membantu menyingkirkan asid urik yang berlebihan dalam badan.
Daun misai kucing digunakan bersama hempedu bumi bagi melawaskan pembuangan air kecil, rawatan batu ginjal, reumatisme, sakit pinggang, radang ginjal, masuk angin, kencing manis dan demam.Herba Misai Kucing telah digunakan sejak beratus-ratus tahun dahulu oleh pengamal perubatan tradisional untuk merawat penyakit berkaitan pundi kencing (seperti batu karang) dan buah pinggang.
Misai Kucing banyak terdapat di kawasan lapang seperti di tepi jalan dan kawasan tanah terbiar samada kawasan tanah rendah atau tinggi. Selain tumbuh secara liar, Misai Kucing juga ditanam di kawasan rumah sebagai tanaman hiasan kerana bunganya yang menarik.
Nama Misai Kucing diberi sempena ciri bunganya yang unik, mempunyai filamen yang panjang menyerupai misai kucing. Di Malaysia, dua varieti telah dikenal pasti berdasarkan warna bunga iaitu bunga putih dan bunga ungu. Varieti bunga putih dikenali sebagai MOS1 dan varieti bunga ungu dikenali sebagai MOS2. Terdapat perbezaan dari segi pertumbuhan antara dua varieti ini.
Kandungan ortosifonim dan garam kalium (yang terdapat pada daunnya), merupakan komponen utama yang membantu larutnya asid urik, fosfat dan oksalat dalam tubuh manusia, terutama dalam hempedu ataupun ginjal sehingga dapat mencegah terjadinya endapan batu karang.
No comments:
Post a Comment