Pages - Menu

Friday, May 22, 2009

Terima Kasih, cikgu...

Terima kasih Cikgu kerana 'selamatkan' saya...
Azamin Amin
Mon | May 18, 09 | 2:35:19 pm MYT

Masih belum terlewat untuk menitipkan sebaris kalimah yang tidak mungkin boleh membalas budi baik, niat ikhlas dan sakit pening mendidik, menggilap dan mengasah susuk tubuh ini agar menjadi 'manusia'. Terima kasih Cikgu.

Izinkan saya mencoret secubit kisah, pengorbanan guru...

Ya, bagaimana mungkin sebilangan besar guru-guru di sebuah sekolah asrama di Perak akan melupakan seorang pelajar tingkatan dua tahun 1989, yang lari daripada sekolah di waktu malam, menaiki keretapi lalu ke utara tanah air tanpa diketahui oleh sesiapa.

Gamat satu sekolah keesokannya. Namun kisah 'fugitive' itu tidak bertahan lama. Dua hari selepas itu saya berjaya 'ditangkap'.

Tidak mungkin juga, mana-mana guru dapat menghilangkan wajah seorang Azamin yang terpaksa berdiri di hadapan ratusan pelajar pada hari perhimpunan Jumaat, kerana melanggar displin sekolah.

Digelar oleh guru displin sebagai P1 (Penjenayah, penjahat, perosak dan pelbagai perkataan P yang menunjukkan akhlak saya tidak elok).

Bukan sekali langgar. Acap kali. Antaranya bertumbuk, bergaduh, pecah almari makmal, bawa 'lari' sebuah TV asrama ke bilik gerakan sekolah semata-mata untuk menonton video, meronda-ronda ke Asrama Puteri lewat malam dan aneka macam kelaku yang cukup memalukan.

Seringkali mata memandang serong apabila saya menuju ke bilik pengetua sekolah untuk menjalani hukuman sebatan rotan yang cukup menyakitkan. Lebih mengaibkan, ayahanda terpaksa datang sebab saya digantung selama seminggu kerana mencederakan pelajar.

Senarai panjang salah laku, tidak mungkin dapat memenuhi coretan ini. Cukup secebis, tanda pengakuan salah sebagai pengajaran yang bermakna dalam hidup. Saat itu, umpama sudah ada 'sayap untuk terbang'. Terlalu angkuh, padahal hijau lagi akal budi.

Cumanya... paling menyayat hati dan tersentuh jiwa, walau setinggi mana gumpalan noda dan dosa, biar melangit saya melompat, dan tersungkur ke bumi sekalipun, guru-guru sekolah tidak pernah 'membuang' ataupun 'menyisih' saya.

Malah ketika saya 'jatuh', mereka mengutip saya, mengangkat lalu menjulang semula ke atas. Tanpa serik, saya kembali 'liar' melonjak ke sana ke mari mencabar jiwa naluri seorang guru.

Setelah lama, saya 'jatuh' terperusuk lagi. Sepi, sakit dan berdarah. Guru-guru, sekali lagi memapah, memeluk dan menyelamatkan saya sambil membasahkan bibir dengan kalimah kata-kata hikmat dan azimat. Tanpa peduli, siapa saya yang dikenali cukup bermasalah.

Tidak putus-putus, seorang demi seorang menasihati saya. Baik guru lelaki mahupun perempuan. Baik yang beragama Islam mahupun bukan. Tanpa kecuali guru kaunseling, silih berganti, menjadikan saya sebagai subjek bermasalah yang perlu ditangani dengan segera.

Selama setahun lebih guru-guru memulih dan menenangkan 'pemberontakan' saya.

Bayangkan tanpa ayah ibu di depan mata, guru-guru menjadi keluarga pengganti diri. Jika tidak sabar, sudah pasti tidak ada sekelumit nurani pun yang berhajat untuk membimbing saya ketika itu. Tanpa jemu, guru-guru terus memberi semangat juang yang tinggi untuk menjadikan saya, seorang pelajar yang baik.

Tahun 1990, terbit rasa insaf. Berjurai air mata tatkala mendengar kalimah tajam menusuk jiwa daripada guru-guru saya.

"Awak terlalu matang untuk membuat kerja-kerja bodoh ini. Seorang pemimpin, bukan begini kelakuannya.," nasihat seorang guru perempuan kepada saya yang ketika itu berada di tingkatan tiga.

"Azamin, cara awak berkata-kata, bercerita menunjukkan tahap pemikiran yang sama sekali berbeza dengan sifat yang awak tunjukkan selama ini. Berubahlah, disebalik keburukan pasti ada cebis kebaikan awak," kata seorang guru kaunseling sambil menitiskan air mata.

Walaupun tercatat nama dalam buku hitam dispilin sekolah termasuk satu rekod di Balai Polis Ipoh kerana lari sekolah, saya 'bangkit' semula atas usaha jerit pedih cikgu-cikgu mendidik saya.

Ya...bukan senang menjadi guru. Siang malam bergelumang dengan karenah dan ragam pelajar yang kini cukup dasyat, menyeramkan dan meloyakan.

Saya, antara bukti yang masih hidup. Betapa payahnya, guru-guru melentur saya, namun akhirnya berjaya jua.

Berapa ramai guru di seluruh negara, secara 'tidak sengaja' dan tanpa niat telah melahirkan beratus-ratus malah ribuan 'binatang' di luar sana. Perompak, perogol, penjenayah, penagih dan pembunuh yang asalnya juga daripada suci perut ibu mengandung, juga asalnya seorang pelajar sekolah. Pasti mengecewakan. Namun itu bukan salah cikgu.

Alhamdullilah, saya terselamat kerana guru-guru saya sempat dan cepat. Calar-balar dan lebam di tubuh serta tempeleng dan jerkahan guru menjadikan saya sedar kesilapan yang dilakukan.

Jika tidak, entah di kolong manalah saya melabuhkan lena, entah di longkang manalah saya terjaga. Lorong hitam manalah saya berkelana dan mungkin perginya tanpa nama, atau lebih pedih dihina.

Jikalau badan saya tidak berbirat dan tiada pekikan guru menerjah telinga saya, sudah pasti saya tidak berada di sini.

Mungkin tidak ada sesuatu pun boleh dibanggakan oleh guru-guru terhadap saya. Namun sejahat mana sekali pun saya, seteruk mana libasan guru ke tubuh saya, sekuat mana tempikan guru kepada saya...saya tidak pernah melawan guru.

Jauh sekali untuk mencalarkan kereta atau memancitkan tayar kereta cikgu atau mengajak cikgu 'bertempur' di luar sekolah. Biar apapun, dua jenis manusia yang tetap saya hormati sepanjang hayat...'ayah ibu dan guruku'.

Mungkin guru-guru saya, di sekolah, di kolej atau di pondok pasti akan bersyukur dan merasa sungguh bangga apabila sebilangan besar anak-anak didik mereka telah menggapai 'bintang'.

Yang menjadi doktor, peguam, jurutera, pendidik, usahawan, pemimpin politik dan berada di puncak pasti akan menyejukkan hati guru-guru saya.

Cuma tentang diri saya... adakah guru -guru bersyukur dan rasa penat-lelah mereka berbalas apabila saya berada 'di sini', di lingkungan oposisi?

Hajat di hati, ingin saya merakamkan nama-nama guru saya di coretan ini namun rasa tidak sampai hati dan tidak tergamak, mana tahu bakal 'terpalit lumpur' di sebabkan oleh saya, maklumlah saya di berada 'di sini'.

Saya begitu berbesar hati untuk membariskan senarai semua guru-guru yang telah 'menyelamatkan' saya selama ini, namun hati kecil penuh sayu terpaksa membatalkan hasrat kerana tidak mahu menyusahkan cikgu di kemudian hari.

Walau apapun tanggapan dan sangkaan, saya tetap menyanjung cikgu kerana telah 'menyelamatkan' saya dan kini saya berada 'di sini', memperjuangkan apa yang saya percayai...

Sebelum mata tertutup rapi atas kesalahan saya selama ini, saya mohon ampun dan maaf atas segala tutur-kata dan gerak-gaya yang menyinggung dan mengusik hati cikgu yang cukup baik terhadap saya. Moga sudi teruskan mendoakan saya bersama perjuangan ini.


Muridmu suka mencabar hati,
Asyik melawan, langgar arahan.
Budi baik guruku sejati,
Jasamu kutebus di depan tuhan.

"TERIMA KASIH, KASIH DIJULANG...SELAMAT HARI GURU." - azm

(Artikel ini ditulis setelah tercetus ilham sejurus berada di pekarangan hadapan Sekolah Menengah Raja Permaisuri Bainun, Ipoh jam 3.50 pagi, 7 Mei lalu. Sebarang pandangan, luahan dan kritikan, bolehlah dimajukan kepada saya di azaminamin@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya )_


HarakahDaily.Net/Sabtu 23 Mei 2009 | 28 Jamadil Awal 1430 Hijrah

Saturday, May 16, 2009

Selamat Hari Guru

Nasi lemak cikgu, rotan azimat raih kejayaan

GURU ialah segala-galanya daripada menjadi pendidik, pengasuh, pembimbing, penasihat, mentor, penyumbang fikiran sehingga penderma wang ringgit. Justeru, Islam meletakkan pendidik pada kedudukan istimewa.

Saya masih ingat pemberian sebungkus nasi lemak guru ketika di sekolah rendah, jauh di pedalaman dan begitu terpencil dari pekan.

Saya juga tidak lupa tiga rotan di tapak tangan oleh guru Geografi dan Matematik di Darjah Enam semata-mata salah menunjukkan nama sungai di peta dan silap menghitung.

Pengalaman pahit manis belajar tidak sampai saya membenci guru, malah jasa mereka tetap dikenang. Nasi lemak dan rotan dijadikan cabaran sehingga berkatnya membolehkan saya mengungguli ujian Geografi dan Matematik di sekolah menengah.

Tugas hakiki guru mendidik murid menjadi insan berilmu sekali gus berakhlak mulia amat terpuji. Guru dulu mengajar dalam keadaan serba daif dan persekitaran sekolah yang tidak kondusif kepada pengajaran serta pembelajaran, namun amat komited kepada tugas sehingga melahirkan insan cemerlang hatta pemimpin negara.

Benar kata Sasterawan Negara Usman Awang, sesiapa juga yang berjaya pada hari ini bermula dengan jasa guru. Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia mengakui hakikat usaha bimbingan tidak ternilai dan pengorbanan besar guru menjadikan mereka calon cemerlang mencipta rekod tahun demi tahun. Pelajar tidak berjaya, jika menyimpan dendam terhadap guru, segera mohon maaf.

Tugas guru kini kian mencabar sehingga kerap dipersalahkan di sebalik peningkatan kes salah laku dan tidak berdisiplin pelajar termasuk melawan guru.

Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun bertujuan mengenang jasa pendidik yang banyak berkorban masa, tenaga dan wang.

Paling mudah bagi murid mengenang pengorbanan guru ialah belajar bersungguh-sungguh sekali gus sentiasa menjaga disiplin diri dan mematuhi peraturan sekolah.

Sambutan Hari Guru memasuki kali ke-38 juga memberi kesempatan kepada pendidik melakukan muhasabah diri secocok dengan tema sambutan 'Guru Pembina Negara Bangsa'.

Pembaikan taraf akademik tanpa terlalu mengharapkan ganjaran dan kenaikan pangkat serta keazaman memberi khidmat terbaik kepada anak didik dapat meningkatkan martabat profesion keguruan pada pandangan masyarakat.

DR ILLIAS ZAIDI
Akademi Buku Malaysia,
Kuala Lumpur.

Berita Harian/Sabtu, 16 Mei 2009/21 Jamadilawal 1430

Thursday, May 7, 2009

Beng Tuning lagi...

Aku dan kawan aku bawa kereta tu kat beberapa orang mekanik . Ada yang cuba tuning semula kereta tu tapi masih tak der 'pickup'. Masih lagi semput-semput. Satu mekanik senior tu cakap..kereta lu ni sudah 'knocking' tapi mekanik ni cuma buat tuning saja. Baik sikit ja tapi masih tak seperti asal.
Akhirnya kawan aku pun naik fedup..Jadi satu hari dia bawa kereta tu kat mekanik kampung saja. Mekanik kampung ni tak der alat tuning berkomputer. Tak der mesin yang canggih-canggih. Cuma ada spanar jer. Kampungan la katakan... Jadi.. dia pun ceritakan masalah keretanya itu kat mekanik tu....


Mekanik tu pun buka bonet enjin kereta tu.. Dia cuma gelak kecil. "Banyak orang yang dah terkena, bang..Bukan abang seorang. Tu..cuba abang tengok tu..ada selonggok kabel plag macam abang punya..warna biru tu." Rupa-rupanya kat kedai mekanik tu ada selonggok kabel plag macam yang kawan aku tukar kat Beng Tuning tu. Dibuang begitu saja.

Mekanik tu kata kabel tu tidak sesuai dengan jenis kereta macam kawan aku punya. Kabel ni mengalirkan arus letrik yang terlalu tinggi hingga menyebabkan berlaku "knocking" pada enjin. Penyelesaiannya mudah saja. Kabel plag dan plag Bosch tu perlu ditukar kepada kabel plag asal. Jadi kena beli kabel plag asal dan plag asal saja.

Jadi kawan aku pun beli plag dan kabel baru..tak mahal pun .Kabel plag tu baru RM30 dan plag NGK tu baru RM20. Upah mekanik kampung ...RM0.00.. Cuba hidupkan enjin..test ..pandu keliling kampung..naik bukit turun bukit.. Wow...power semula beb.. Boleh potong kereta lain ..Semua masalah yang ditimbulkan oleh Beng Tuning tu dah hilang. Tak der lagi bunyi 'ketek,ketek,ketek'.

Rupanya mekanik kampung ni lagi handal daripada mekanik kat bandar. Mekanik bandar ni cuma berlagak saja lebih. Mesin canggih ler..itu ini tapi penyelesaian masalah tak dapat dibuat. Upah pula mahal. Yang paling menyakitkan hati ialah menipu pelanggan untuk dapat untung. Tak jujur langsung..

Berbeza pula dengan mekanik kampung. Kalau ikut nak tipu tentu mekanik tu dah kenakan upah yang tinggi tapi tak kena sekupang pun.. Jadi , pengguna perlu la berhati-hati dengan mekanik macam Beng Tuning tu. Jom kita pakat boikot Beng Tuning. Tunjukkan kuasa pengguna anda..Tolak mekanik penipu..

Sunday, May 3, 2009

Awas..Beng Tuning..

Untuk pemilik kenderaan sekitar Perlis, jika nak servis kereta maka anda perlu berhati-hati dengan Beng Tuning & Service yang terletak di :

Beng Tuning & Service

312, Jalan Baru, Taman Mutiara, Kangar 01000, Perlis

p: 604-9762152 f: 604-9762152

Website - None Supplied



Ramai orang yang sudah terkena dengan Beng Tuning ni.. Salah seorang yang terkena kencing dengan mamat ni adalah kawan aku. Perkhidmatan utamanya adalah tuning kereta dan servis sikit-sikit. Mamat ni selalunya akan promosi pelanggan yang berkunjung ke kedainya dengan menguji kabel plag kereta.

Dia akan cabut kabel plag kereta pelanggan dan diuji pada satu alat kat kedainya lalu dibuat perbandingan dengan kabel plag yang dijualnya. Kabel plag kereta pelanggan akan mengalirkan arus letrik yang terputus-putus dan tidak kuat seperti kabel yang dijualnya. Jadi, mamat ni akan tawarkan pelanggan untuk beli dan pasang pada kereta. Mamat ni jamin kereta akan jadi lebih power..

Harganya pula...dijamin pancung kepala..RM200.00.Setelah dipasang, tukar pula penapis petrol yang dibuat daripada plastik. Pancung lagi kepala pelanggan yang tak reti apa-apa..RM60.00. Nak tipu lagi...buat gempar kawan aku kononnya kerja tuning kereta tu tak akan elok kerana pully kereta tak betul..Dah tak elok dan perlu ditukar baru.. Bayar lagi RM200.00.

Tapi kawan aku rasa pelik gak dengan mamt sepet ni..asyik nak sapu RM200 jer. Dia tak mau tukar pully tu. Cukup setakat tukar kabel, tukar plag pakai Bosche , tukar minyak enjin, penapis petrol dan tuning saja. Hancur RM360.00. Gerenti bagus lu punya kereta..kalau mau elok lagi lu mari tukar itu pully..kasi saya buat, ok.

Start enjin nampak okey jer tapi apabila kereta bergerak tak sampai 200 meter pun, kereta tu dah mula semput-semput..nak mampos jer. Tak power langsung. Tiada pickup..kat lampu isyarat lagi teruk...naik bukit sikit jer, enjin dah bunyi semacam...ketek,ketek,ketek,ketek. Member aku pun patah balik ke kedai tu..Jumpa mamat sepet tu lagi sekali dan cerita masalahnya.

Tak dak apa punya..itu awak punya minyak kereta tak berkualiti. Pergi tukar minyak petrol yang berkualiti..nanti elok semula. Dah ganti minyak guna petrol berkualiti (Shell ler..) pun masih tak berubah juga..masih nak mampos juga enjin tu..Cari formen yang boleh settlekan benda tu.. Cuba tuning semula enjin pun masih sama juga..Sah ler dah kena tipu dengan Beng Tuning tu..