Oleh: HAJAH SITI SALEHA HAJI IDRIS
PEGUAM SYARIE
Dalam bahasa kita nusyuz ni ingkar atau derhaka. Persoalannya bila sebut sahaja nusyuz atau derhaka ni selalunya "macam" terfokus kepada isteri. Isteri derhaka, tak taat suami tak hormat suami tak nak layan suami dan macam-macam lagi kesalahan diletakkan ke atas wanita yang bergelar isteri. Kesian orang perempuan ni dah la buat kerja macam-macam, siang, malam, pagi, petang nak cuti pun susah sebab kerja tak pernah selesai. Yang lagi hebat, kalau anak 5,6,7,8,9 dan keatas lepas tu tak ada pembantu... Ya Allah ... faham-faham sahajalah. Tapi orang perempuan ni dicipta oleh Allah walaupun fizikalnya nampak lemah tapi kekuatan dalamannya memang hebat lebih-lebih lagi jika untuk suami dan anak-anak yang sangat-sangat dikasihi. Sebab itulah berkorban terkorban pengorbanan sangat sinonim di dalam diari kehidupan seorang wanita.
Hukum nusyuz atau derhaka ni memang jelas haram, bila dah haram bila dilakukan maka berdosa. Sebagai seorang yang beriman bila sebut dosa tentu kita takut sebab bila dah berdosa kalau tak bertaubat hadiahnya adalah neraka Nauzubillahi min zalik.
Oleh itu berhati-hati dalam tindak tanduk kita supaya tidak dikategorikan sebagai isteri yang derhaka. Kalau ada minta maaf cepat2 sebab kematian itu datang tak tentu masa bila-bila sahaja.
Bila sebut tentang nusyuz atau derhaka ni, adakah isteri sahaja yang nusyuz, bagaimana pula suami?
Isteri dikatakan nusyuz jika tidak mentaati suami sebagaimana yang diwajibkan oleh Allah Taala. Isteri wajib mentaati suami tapi bersyarat iaitu sebagaimana yang diwajibkan oleh hukum syarak. Kalau suami tak bagi tutup aurat tak bagi belajar ilmu fardhu ain maka bukanlah nusyuz jika tidak dipatuhi. Ketaatan yang dituntut oleh Islam ada panduan sebagai rujukan dan bukan sewenang-wenangnya.
Suami juga dikatakan nusyuz, jika berlaku zalim seperti tidak menunaikan hak nafkah atau bercakap atau bertindak kasar terhadap isteri atau tidak menunakan hak isteri dalam pembahagian giliran bermalam. (rujuk kitab terjemahan Al-fiqh Al-Manhaji jilid 4 ms 849)
Tak beri nafkah, tak nak bercakap dengan isteri, pukul isteri, tak nak balik rumah isteri tua bila dah dapat isteri muda dan sebagainya...itu perbuatan derhaka dari pihak suami terhadap isteri.
Isteri juga berhak menasihati suami sebagaimana suami berhak menasihati isteri. Jika peringatan dan nasihat yang diberikan oleh isteri tidak berkesan, masalah tersebut wajar dibawa ke Mahkamah bagi isteri untuk mendapatkan haknya. Ini kerana hakim di Mahkamah dilantik untuk mengembalikan hak kepada empunya hak khususnya bagi isteri- isteri yang tidak mampu mendapatkan haknya secara perundingan.
Suami berduit tapi tak nak bagi kat isteri katanya isteri bekerja jadi tanggunglah diri sendiri, adakah itu juga kategori derhaka ya, tak berani nak declare. Tapi yang jelas itu suami yang kedekut Sabda Rasulullah "Sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik kepada ahli keluarganya dan saya adalah orang yang paling baik di kalangan kamu kepada ahli keluarga saya"
Tak salah jika Isteri bekerja dengan izin suami, ditambah pula perkerjaan isteri memang tak bercanggah dari hukum syarak tapi tanggungjawab suami untuk memberi nafkah kepada isteri tetap tidak gugur...
Satu penyakit yang menular dalam masyarakat kita ialah masalah komunikasi antara suami dan isteri, kadang-kadang seminggu tak bercakap alasannya tak ada apa yang nak dibualkan, tapi yang peliknya ditempat kerja masing-masing diiktiraf kaki sembang, pandai bercerita, hebat dihadapan rakan sekerja tapi bila balik rumah out..bercakap tak nak, senyum pun susah, telefon pun tak nak masing-masing bawa diri masing-masing sorang gi timur dan sorang di barat, anak-anak pun jadi confius arah tuju keluarga yang hendak dibina oleh ibu bapa mereka. Masing-masing lebih prihatin dan ambil berat hal-hal orang luar dari keluarga sendiri sedangkan hadis diatas jelas menyatakan siapakah "sebaik-baik kamu"....
Kesimpulannya nusyuz atau derhaka, bukan sahaja dari pihak isteri bahkan suami juga, oleh itu muhasabah diri dari masa ke semasa. Semua orang nak hidup bahagia bersama orang yang dikasihi. Pada pendapat saya corak atau warna kehidupan dalam keluarga yang kita bina adalah pilihan kita sendiri... bahagia atau derita tanya diri sendiri.. Allah beri aqal untuk berfikir dan gunakan sebaik mungkin jangan disebabkan keegoan diri sendiri menghancurkan kebahagian diri sendiri dan insan-insan yang berada disekeliling kita...
Semoga Allah mengampuni dan merahmati kita semua..
Dipetik drp http://hakwanitadalamislam.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment