Pages - Menu

Wednesday, November 20, 2013

Treadmill..


Treadmill ni jenamanya Gintell  CyberAir Compact FT460.Harganya taklah mahal..RM3998 sahaja.Ada orang kata...buat apalah beli benda macam ni..buang duit saja..duit tu kalau beli motor kapcai , boleh gak naik ke hulu dan ke hilir. Tetapi ..sebenarnya..treadmill ni cukup berguna untuk mengekalkan kecergasan.

Faedah treadmill...boleh berlari dalam rumah..tak dak orang nampak..nak pakai seluar pendek pun boleh. Tengah malam buta pun boleh berlari..tak takut dah..kecuali orang tu penakut. Hujan pun boleh lari..cuaca bukan halangan. Satu lagi..kalau masa tu suntuk pun kita boleh berlari dan bersenam dengan guna treadmill. Ada 20 minit pun dah memadai. Dah tu..boleh berlari sambil menonton televisyen..


Satu lagi kelebihan treadmill ni ialah kita boleh gunakan untuk mengukur denyutan nadi. Letak saja tapak tangan kat handle tu, ukuran nadi dipaparkan. Kita juga boleh pilih jenis latihan yang disediakan. Jika tak mampu nak ikut latihan yang disediakan, pilih sendiri kelajuan yang dikehendaki. Ciri keselamatan juga disediakan. Tali warna merah diklip pada seluar pengguna. Tujuannya , jika kita terjatuh  maka tali yang diklip tadi akan menarik kunci  yang dilekatkan pada panel. Secara automatik, motor treadmill akan terhenti.


Di samping itu, treadmill ni ada fungsi incline. Incline ni maksudnya macam naik bukit la. Dari rendah meningkat ke tinggi iaitu dari 0 hingga 15. Makin tinggi incline, makin penat untuk berlari.


Selain itu, treadmill ni juga boleh dilipat untuk jimat ruang. Selepas dilipat, treadmill ni boleh ditolak ke ruang simpanan.


Hasil larian akan dipaparkan pada ruang display. Antarnya ditunjukkan jarak larian, jumlah kalori yang digunakan, kelajuan dan masa yang digunakan. Selain itu .. pada display ditunjukkan program, pengguna, bodyfat, nadi dan incline. Jika kelajuan tinggi dan masa larian lebih lama, maka kadar kalori yang dipaparkan adalah lebih banyak.


Bagi aku..treadmill ni cukup berfaedah untuk jaga kesihatan. Badan pun rasa lebih cergas. Banyak peluh dah keluar..Berfaedah la jika digunakan..tak dak faedah jika dijadikan hiasan...



Kawan aku pakai yang jenis ni..tak dak motor..jimat letrik..boleh buat sit up..best juga..


Jom...kita lari...lari untuk kesihatan..untuk hidup yang lebih sihat.

Saturday, November 16, 2013

Tugas Pertama Cinta

MANUSIA perlu didengar cakap dan suara hatinya seperti mana dia perlukan makanan. Tanpa makanan, badan tidak akan sihat dan bertenaga. Maka begitulah juga manusia yang cakapnya tidak didengar, jiwa dan perasaannya akan sakit dan terdera.



Sehubungan itu, untuk membina dan mengekalkan hubungan cinta, maka jadilah pendengar yang baik pada pasangan kita. Sebab itu ada ungkapan yang berbunyi: “The first duty of love is to hear” (tanggungjawab pertama cinta ialah mendengar).

Kekasih yang baik ialah seorang pendengar yang baik. Soalnya, bila kali terakhir kita menjadi pendengar yang baik kepada pasangan kita? Ketika kita pulang dari kerja atau musafir, kita memilih menjadi pendengar kepada isteri yang ditinggalkan di rumah atau sebaliknya?



Mungkin, banyak yang ingin diceritakan atau disuarakan oleh isteri yang berada di rumah, namun kita menjadi ‘tuli’. Kononnya cerita atau masalah di pejabat atau sepanjang permusafiran kita, jauh lebih besar dan penting daripada apa yang dialami isteri di rumah.

Demikian juga di pihak suami, kadangkala ia ingin juga meluahkan rasa hatinya kepada isterinya melalui cerita. Tetapi bila didapati isterinya asyik membebel atau merungut, lalu lidah dan hatinya terkunci untuk bercerita. Kekadang raut wajah dan mimik muka kita menjadi penghalang untuk pasangan kita memperdengarkan suara hatinya.


Kita tidak bercakap tetapi ‘bahasa badan’ atau ‘ayat mata’ kita seolah-olah memberi amaran: “Jangan ganggu saya. Saya letih!” Esok, lusa dan hari-hari seterusnya begitu juga. Lama kelamaan pasangan kita kehilangan suara. Dia tidak akan bercakap lagi. Dan lebih malang lagi, apabila dia berpaling kepada pihak ketiga yang lebih sudi mendengar.

Beza Antara Empati dan Simpati

Mendengar dengan jiwa akan melahirkan empati. Mendengar dengan telinga akan melahirkan simpati. Apa bezanya simpati dan empati? Empati bererti kita merasai suara hati yang diperdengarkan dan tidak diperdengarkan oleh pasangan kita.

Manakala simpati hanya memahami apa yang diperdengarkan melalui ayat dan kata-kata. Empati akan memperkukuhkan cinta, kerana cinta itu hakikatnya berkongsi rasa bukan sekadar berkongsi kata. Suami atau isteri yang baik akan menjadi pendengar yang baik kepada cerita, berita, luahan rasa pasangannya. Walaupun mungkin yang diperkatakan itu sudah berkali-kali dan kerap kali ‘diulang tayang’… tetapi kekasih yang setia tidak akan jemu-jemu mendengarnya.




Jika anda pulang ke kampung, dan duduk di sebelah ibu bapa yang telah tua, bukankah selalu anda ‘diperdengarkan’ dengan cerita yang sama? Bagaimana reaksi anda? Ya, anak yang baik akan terus mengangguk-angguk, mengiyakan dan tersenyum dengan cerita ‘lapuk’ ibu bapanya. Maka begitulah seorang suami, guru, pemimpin yang baik – sentiasa menjadi pendengar yang baik kepada isteri, pelajar dan pengikut-pengikutnya. Walaupun mendengar lebih ‘pasif’ daripada berkata-kata tetapi untuk mampu mendengar sebenarnya lebih sukar daripada berkata-kata.

Anda pernah melihat orang yang asyik ‘memonopoli’ sesuatu perbualan? Lepas satu, satu ceritanya. Dia tidak memberi peluang langsung kepada orang lain untuk bercakap. Seolah-olah dia berkata: “Kau diam. Dengar sahaja apa yang aku cakap!” Atau belum sempat orang lain bercakap, dia pun segera memotong percakapan itu. Apa tanggapan kita terhadap orang begini? Ya, tentu sahaja negatif. Mendengar lebih sukar kerana ia bererti “memberi perhatian, hati dan perasaan”. Hanya orang yang pemurah sahaja sanggup berbuat demikian. Orang yang bakhil tidak akan sanggup. Si bakhil tidak akan sanggup memberi tumpuan, perhatian dan hatinya kepada orang lain.

Demikian dengan orang yang bersifat ego, ia tidak sanggup mendengar ucapan orang lain,walaupun yang berguna. Dengan bercakap dan terus bercakap, dia ingin terus mendapat perhatian. Dalam suatu bentuk perhubungan, terutamanya dalam hubungan cinta… sikap memberi akan menyatukan. Sebaliknya, sikap hanya ingin menerima akan memisahkan.

Mendengar dan Mengasihi Allah

Tuhan yang maha mendengar adalah Tuhan yang maha mengasihi hamba-hambaNya. Untuk mengasihi, Allah mendengar. Sebab itu antara nama-nama Allah yang baik (Asma’ ul-Husna) ialah al-Sami’. Allah Maha mendengar rintihan, doa dan pengaduan hamba-hambaNya.

Tanpa mengira sesiapa, bila dan di mana jua, Allah mendengar doa hamba-hambaNya. Allah memakbulkan permintaan, memenuhi harapan. Allah tidak jemu-jemu mendengar sayangnya, kita yang sering jemu memperdengarkan. Jadi, sekarang kita seharusnya sedar mengapa Allah wajar dijadikan Kekasih Awal dan Akhir… kerana Dia maha mendengar!



Contohilah sifat Allah yang Maha Mendengar untuk menjadi kekasih yang baik. Rendahkanlah hati, kurangkanlah kepentingan diri dan tekan rasa ego agar tidak menjadi orang yang ‘tuli’ dalam bercinta. Mungkin itulah hikmahnya mengapa Allah ciptakan untuk kita dua telinga dan satu mulut. Tuhan mendidik kita agar lebih banyak mendengar daripada berkata-kata.

Jangan bosan mendengar apa yang diperkatakan oleh pasangan kita, kerana siapalah kita berbanding Allah? Tuhan Yang Maha Agung itu pun masih terus-terusan sudi mendengar rintihan hamba-hambaNya yang berulang-ulang. Jadi, apabila pulang dari kerja, atau kembali dari musafir nanti… ketika si dia anda menunggu di depan pintu dengan cerita, rintihan atau luahan hatinya, maka dengarkanlah. Lakukanlah tugas cinta yang pertama, jika anda benar-benar cintakannya dengarkanlah. Pandang matanya, belai tangannya, sapa rasanya dengan rasamu. InsyaAllah, dengan mendengar anda seolah-olah terus berkata-kata: “Aku tetap setia, aku tetap cinta!”

Ayat al-Quran untuk ubati Resdung

RESDUNG atau sinusitis adalah satu masalah lazim di seluruh dunia. Jika kita membuat ujian untuk penyakit resdung pada 10 orang, ujian tersebut mendapati lapan daripadanya mengalami masalah sinusitis ringan yang tidak memerlukan rawatan.

Di Malaysia, dianggarkan 60 hingga 65 peratus penduduk mengalami masalah resdung.

Bagaimanapun, daripada jumlah ini kurang 50 peratus mendapatkan rawatan dan ramai tidak mahu berjumpa doktor kerana menganggap gejala resdung yang dialami hanya selesema atau alahan biasa.
Menurut perubatan moden, resdung adalah radangan yang berada di lapisan membran meliputi dinding ruang sinus. Punca keradangan sinus disebabkan jangkitan kuman atau virus, alergi atau masalah sistem imun badan seseorang.

Pesakit resdung menjadi lebih sensitif kepada bahan menyebabkan alahan seperti habuk, bulu binatang, perubahan cuaca terutama cuaca sejuk, pencemaran alam sekitar dan jangkitan bakteria atau virus.

Penghidap resdung biasanya sering mengalami gejala selesema seperti hidung tersumbat, rasa sakit pada pipi, sekitar mata dan kepala. Ini banyak berlaku terutama pada waktu pagi.

Simptom
* Batuk hingga kerongkong dan anak
tekak gatal.
* Telinga sering tersumbat.
* Lelehan air atau mukus keluar melalui hidung.
* Gatal mata apabila digaru, menjadi merah berair.
* Bersin melampau dan terlalu kerap.
* Simptom paling ketara apabila hidung kerap tersumbat dengan lendir dan kahak hingga sukar dihembus keluar. Akibatnya, suara penghidap menjadi sengau.

Individu berisiko
* Alah kepada habuk, bulu dan makanan menyebabkan hidung tersumbat.
* Mempunyai kelainan dalam hidung seperti septum dinding pemisah hidung bengkok.
* Mempunyai ketumbuhan dalam hidung
hingga menyebabkan ruang sinus sempit.

Kesan
Resdung jika tidak dirawat dengan betul akan memberi kesan serius kepada penghidap sama ada kanak-kanak atau orang dewasa.
Kanak-kanak

Antara akibat resdung kepada kanak-kanak ia boleh merebak ke dalam mata hingga menyebabkan jangkitan bakteria dan mata bernanah. Dalam kes sangat kronik, resdung boleh menyebabkan buta.
Dewasa

Resdung kronik boleh menyebabkan nanah bertakung dalam ruang sinus frontal. Jika nanah tidak dapat dikeluarkan dari hidung, ia boleh dipenuhi bakteria.
Risikonya bakteria boleh memasuki otak dan menyebabkan jangkitan pada otak atau meningitis dan jika dibiarkan boleh membawa maut.

Cegah radang resdung
* Elak memelihara binatang berbulu.
* Jangan guna sarung bantal, cadar dan selimut diperbuat daripada bulu binatang.
* Bersihkan karpet atau permaidani dengan penyedut hampagas.
* Pakai penutup hidung ketika mengemas rumah
* Minum banyak air suam atau mineral.
* Lap muka dengan tuala basah dan air suam
* Elak makan makanan laut seperti udang, sotong dan kerang.

Rawatan Islam
Di Pusat Rawatan Islam Al Hidayah, terdapat ramai pesakit resdung mendapatkan rawatan. Salah seorangnya, Kamal, 28. Dia sering bersin waktu pagi dan masalah hidung tersumbat apabila resdung menyerang.

Kamal telah mencuba pelbagai rawatan dan ubatan tradisonal dan moden namun, kesan positif hanya bersifat sementara.

Doktor sahkan Kamal menghidap resdung kronik dan perlu menjalani pembedahan.
Kamal membuat keputusan pergi ke Pusat Rawatan Islam Al Hidayah untuk rawatan resdung dan beliau diberi beberapa ayat.

Dengan izin Allah, sakit kepalanya berkurangan.

Namun, dia sering bersin setiap pagi dan kulit wajahnya masih berjerawat. Setelah beberapa kali menjalani sesi rawatan, masalah resdung Kamal beransur pulih.

Jerawat di muka berkurangan dan hidungnya jarang tersumbat. Apa yang paling menggembirakan, Kamal tidak perlu dibedah.

Kesembuhan yang berlaku adalah dengan izin Allah melalui mukjizat al-Quran. Kemuliaan dan kelebihan al-Quran dalam penyembuhan penyakit adalah rahmat kepada orang yang memahami dan menyedari rahsia kehebatan mukjizat al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud,

 “Dan kalaulah al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya berbangsa Arab? Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (Al-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar) dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata).” 
(Surah Fussilat ayat 44)

Ssungguhnya al-Quran mempunyai pelbagai rahsia yang Allah sahaja Maha Mengetahuinya.
Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah terlebih dahulu, memeriksa setiap pesakit yang datang, jika ada gangguan makhluk halus. Perawat akan membuang gangguan jika ada dan memberikan ayat berikut untuk diamalkan disertai doa kepada Allah memohon penyembuhan. Ayat tersebut adalah:

* Surah An-Nahl ayat 66 hingga 74
* Surah Al-Anfaal ayat 36 hingga 50

Pesakit hendaklah membaca surah pertama tiga kali pada malam dan surah kedua tiga kali pada siang. Amalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu berdoa kepada Allah untuk penyembuhan.

Dalam pengalaman saya mengubati penyakit fizikal, selalunya ayat dari Surah Al-Anfaal mempunyai hikmah dan keupayaan penyembuhan seumpama antibiotik. Ayat dari Surah An-Nahl berfungsi menguatkan daya pertahanan diri tubuh badan.

Insya-Allah gabungan amalan dua surah ini boleh membantu mengatasi masalah resdung. Percayalah bunyi bacaan al-Quran memiliki aura dan gelombang suara yang berfrekuensi tertentu dan panjang gelombang tertentu.

Gelombang ini mempengaruhi sel dalam tubuh badan kita secara positif dan mengembalikan keseimbangan tubuh. Gelombang dan aura kalimah suci memberi kesan positif kepada sel antibodi dan juga menguatkan sistem pertahanan tubuh badan.

Dalam erti kata lain, rawatan menggunakan ayat al-Quran ini bertindak umpama rawatan moden, namun prosesnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar atau dijelaskan dengan logik akal.

Firman Allah yang bermaksud:
 “Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman….”
– Surah Yunus, Ayat 57

Penutup
Dugaan kepada setiap penyakit yang dihadapi sebenarnya adalah ujian Allah. Justeru, hendaklah kita berikhtiar dan berusaha serta tawakal sepenuh hati.

Sesungguhnya doa, senjata kita yang paling ampuh dalam menghapuskan dan menyembuhkan penyakit.
 https://epondok.wordpress.com/

Saturday, November 2, 2013

PENAWAR KENCING MANIS/DARAH TINGGI/BERKAITAN PENYAKIT JANTUNG MENURUT KAEDAH PERUBATAN ISLAM



Setiap penyakit itu pasti diturunkan sekali dengan penawarnya. Tetapi
manusia mestilah berusaha untuk mencarinya.

Ingatlah sabda Nabi SAW:
"Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah." (Riwayat Muslim).

Kencing manis dikhabarkan ibu kepada segala penyakit. Kalau dah terkena, bermacam-macam penyakit lain yang akan datang. Sangat merbahaya dan sungguh menakutkan.

Salah satu penawar yang berkesan untuk melawan dan boleh sembuh dari penyakit ini dengan izinNYA adalah:

Bahan:
1 biji kelapa muda (isinya sedang berhingus)
3 batang serai makan
7 biji halba





Caranya:
Ketuk 3 batang serai makan dan masukkan ke dalam kelapa muda. Masukkan 7 biji halba juga ke dalam kelapa muda. Kacau rata air kelapa dengan menggunakan serai tadi hingga sebati semuanya dengan isi kelapa.

Letakkan kelapa di atas dapur/api. Minumlah airnya dalam keadaan suam. 1 biji kelapa untuk 2 hari minum.

Buat sehingga cukup 7 biji kelapa iaitu untuk 14 hari.

Agar dapat anda menyebarkanya untuk membantu orang-orang yang amat memerlukannya. Bagi pesakit DARAH TINGGI dan SAKIT BERKAITAN JANTUNG, boleh gunakan kaedah sama.

Terima kasih kepada Ustaz Sharhan Shafie kerana sudi berkongsi amalan perubatan ini.

Saya hanya bantu untuk menyebarkannya sahaja.

•••►Yang Baik Letak Di Hati, Yang Buruk Letak Di Kaki

@RRH